Yakin akar umbi Umno kembali kukuh

RIZAM
RIZAM
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan dilihat dapat mengukuhkan semula pentadbiran parti itu di peringkat akar umbi.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail berkata, tindakan Ahmad Zahid itu membuktikan beliau merupakan seorang pemimpin berjiwa besar apabila lebih mengutamakan parti bagi memastikan Umno terus kekal relevan dalam pentas politik negara.

Rizam berkata, pihaknya juga berharap agar kepimpinan Mohamad dapat memberi nafas baharu buat Umno dengan menggunakan pendekatan lebih dinamik mengikut landskap politik tanah air pada hari ini.

"Saya yakin selepas (penyerahan tugas) ini, pentadbiran Umno di peringkat akar umbi akan terus kukuh dan kami mengharapkan agar Mohamad dapat membawa pendekatan lebih segar.

"Malah kita turut menghormati tindakan Ahmad Zahid. Dan pada saya, sifat kepimpinan dimiliki beliau seharusnya dicontohi oleh pimpinan lain," katanya kepada Sinar Harian.

Rizam berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pengumuman yang dibuat oleh Ahmad Zahid sebelum ini bagi menyerahkan tugas untuk memimpin parti kepada Mohamad.

Tindakan tersebut dibuat selepas beberapa pihak menuntut beliau untuk melepaskan jawatan berkenaan selepas gagal menerajui Umno susulan tindakan 17 Ahli Parlimennya keluar parti.

Malah, Ahmad Zahid juga turut didesak untuk bercuti susulan beberapa pertuduhan yang dihadapinya di mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Rizam memaklumkan bahawa isu lompat parti juga tidak seharusnya timbul lagi selepas ini berikutan Umno telah mendapat suntikan baharu melalui kepimpinan Mohamad.

"Jika ada lagi wakil rakyat yang meninggalkan Umno selepas ini, sudah pasti mereka semua adalah pemimpin yang tidak jujur dan amanah dengan apa yang mereka perolehi pada hari ini.

"Umno telah membuat peralihan tugas dan tak sepatutnya pemimpin di dalam BN atau Umno lompat parti lagi," katanya.

Dalam pada itu, Rizam yang juga merupakan Adun Sungai Ayer Tawar turut memaklumkan bahawa Umno perlu berubah mengikut pemikiran serta kehendak rakyat, dan bukan hanya bernostalgia dengan kejayaan-kejayaan lampau.

Tambahnya, rakyat masih mengharapkan Umno pulih seperti sedia-kala namun parti ini seharusnya menggunakan pendekatan berbeza bagi meraih semula sokongan rakyat.

"Umno perlu lihat pendekatan di luar kotak yang menjurus kepada kehendak rakyat dan bukan semata-mata kepada kehendak ahli," katanya.