Pelantikan Vivy Yusof atas pertimbangan profesional UiTM: Maszlee

Vivy Yusof
Vivy Yusof
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelantikan usahawan e-dagang Datin Vivy Yusof sebagai anggota lembaga pengarah Universiti Teknologi MARA (UiTM) merupakan keputusan lembaga pengurusan universiti itu, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Beliau berkata keputusan UiTM itu berdasarkan pertimbangan profesional dengan melihat potensi Vivy sebagai seorang usahawan berjaya di samping boleh memberi suntikan semangat kepada pelajar UiTM.

"Saya dimaklumkan lembaga pengurusan universiti bahawa beliau (Vivy) mempunyai pengaruh besar dalam kalangan anak muda, dan dilihat sebagai ikon untuk mereka maju.

"Pelantikan ini juga melihat kepada potensi UiTM membangunkan bidang keusahawanan selain peluang yang boleh dibawa oleh Vivy ke UiTM," katanya kepada Bernama di sini, hari ini ketika diminta mengulas pelantikan Vivy yang dipertikai beberapa pihak.

Dilaporkan wakil Alumni Keusahawanan UiTM Ahmad Muzakkir Hamid menyifatkan pelantikan itu ibarat 'menolak’ kredibiliti lebih 800,000 alumni institusi berkenaan.

Sementara itu, Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Ir. Dr. Mohd Azraai Kassim berkata pihaknya yakin pelantikan Vivy yang merupakan Ketua Pegawai Kreatif di FashionValet serta pengasas bersama The dUCk Group akan memberi inspirasi kepada pelajar universiti itu dalam meneroka peluang perniagaan baharu. -Bernama

Artikel Berkaitan: