Bantu pengguna jalan raya hadapi kecemasan

Suzaimi (kiri) sampaikan sumbangan kepada penerima dalam majlis di IPD Tanah Merah semalam.
Suzaimi (kiri) sampaikan sumbangan kepada penerima dalam majlis di IPD Tanah Merah semalam.
A
A
A

TANAH MERAH - Kelab 4x4 Tanah Merah dan kelab radio amatur sedia bekerjasama dengan polis mengadakan rondaan bagi membantu pengguna jalan raya yang menghadapi masalah kenderaan rosak atau kemalangan pada musim perayaan Aidilfitri ini.

Pengerusinya, Mohd Ramli Ab Rahman berkata, kerjasama itu perlu bagi memastikan pengguna jalan raya dan perantau selamat sampai ke destinasi bagi menyambut 1 Syawal bersama keluarga di kampung halaman.

"Kita akan bantu dari segi logistik dengan membawa mangsa terlibat dalam kemalangan atau kenderaan rosak ke tempat selamat dan memberi bantuan lanjut.

"Dengan bantuan ini juga dapat mengurangkan risiko atau kejadian tidak diingini ketika keadaan mereka masih dalam keadaan panik selepas menghadapi situasi kemalangan atau kenderaan yang mengalami masalah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa dan penyampaian sumbangan kepada asnaf Kelab 4x4 Tanah Merah dan Polis Tanah Merah di Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini semalam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan, Suzaimi Mohamad.

Menurutnya lagi, program sumbangan itu juga merupakan hasil kerjasama antara kelab dan idea dari ketua polis daerah sendiri.

"Kita kumpul dana dan agihkan sumbangan kepada pihak memerlukan dan turut menyampaikan 64 pek makanan dan sumbangan zakat kepada penerima bantuan termasuk di kampung Peralla, Kusial dan di IPD Tanah Merah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Suzaimi berkata, orang ramai yang meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung perlu lapor kepada pihak polis dalam usaha memastikan kawasan kediaman selamat.

"Walaupun jenayah pecah rumah meningkat namun di Tanah Merah masih terkawal dan kita sering adakan pemantauan," katanya.