Scam: Kerani, penganggur ditipu pinjaman tak wujud

Noorzainy Mohd Noor
Noorzainy Mohd Noor
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang kerani swasta dan penganggur masing-masing mengalami kerugian sebanyak RM3,289 dan RM3,850 apabila terpedaya dengan sindiket pinjaman wang tidak wujud semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 32 dan 21 tahun itu mengetahui mengenai tawaran pinjaman wang itu menerusi laman Facebook.

Menurutnya, kedua-dua mangsa mula berminat dengan tawaran itu berikutan namanya telah disenaraikan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) yang membuatkan mereka sukar untuk membuat pinjaman wang di bank.

"Setelah berhubung melalui sistem pesanan ringkas dengan ahli sindiket berkenaan, mangsa tertarik dengan tawaran yang diberikan. Ini kerana, ia kononnya menawarkan proses pinjaman secara pantas dan tidak perlu bersemuka membuatkan mangsa berminat.

"Selain itu, kelayakan mangsa juga tidak perlu ditapis dan boleh menerima wang pinjaman dengan cepat. Bagaimanapun, mangsa perlu membuat beberapa bayaran kononnya untuk pemprosesan, bayaran peguam, 'stamping' dan pelbagai alasan lain," katanya ketika dihubungi tadi.

Noorzainy berkata, kedua-duanya yang percaya dengan syarat yang diberikan telah membuat beberapa bayaran berperingkat kepada pihak peminjam tersebut.

"Mangsa bertindak membuat bayaran itu kerana yakin akan menerima wang yang mahu dipinjam selepas membayar semua kos tersebut.

"Mangsa tidak pernah berjumpa dengan individu pemberi pinjaman tersebut. Modus operandi sindiket ini adalah melalui panggilan telefon dan aplikasi WhatsApp bagi mengelak identiti mereka dikenal pasti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, menyedari dirinya ditipu, mangsa terus membuat laporan polis berhubung perkara itu.

"Mereka mula sedar ditipu selepas gagal menerima sebarang wang pinjaman sedangkan dia sudah membuat bayaran kesemua kos seperti yang diminta. Kedua-duanya kes berlainan namun cara ditipu adalah sama.

"Kes kini dalam siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Beliau berkata, orang awam dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan sebarang iklan di laman sosial yang menawarkan pinjaman wang.

"Sindiket seperti ini beroperasi secara rambang dengan meletakkan iklan di laman sosial seperti Facebook.

"Kebanyakan mangsa adalah individu yang mahu menggunakan wang dengan cepat," katanya.