Bantuan Aidilfitri peneroka: Terima kasih kerajaan

Sulong Jamil Mohd Shariff
Sulong Jamil Mohd Shariff
A
A
A

SHAH ALAM - Peneroka Felda berterima kasih kepada kerajaan kerana meluluskan pemberian bantuan Aidilfitri sebanyak RM300 kepada 112,635 peneroka.

Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, dengan bantuan yang disalurkan itu ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan bebanan para peneroka untuk membuat persiapan menyambut hari raya.

"Saya selaku ketua peneroka bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan terutamanya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana prihatin dengan nasib peneroka dalam keadaan harga bahan komoditi sawit dan getah jatuh.

"Pemberian ini sekurang-kurangnya dapat membantu para peneroka menyediakan persiapan hari raya mereka," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: PM sahkan bantuan Aidilfitri RM300 untuk peneroka Felda

Sementara itu, Datuk Zulkefli Nordin mewakili Suara Generasi Baharu Felda, turut berterima kasih kepada kerajaan kerana akhirnya meluluskan bantuan khas Aidilfitri walaupun di saat-saat akhir.

"Lambat atau cepat itu bukan isunya. Kami amat berterima kasih kepada Dr Mahathir dan Mohamed Azmin kerana memberi pertimbangan yang baik kepada warga peneroka.

"Walaupun jumlahnya tidaklah besar, tapi kami bersyukur kerana sekurang-kurangnya dapat membantu mereka yang dalam keadaan yang memerlukan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, beliau turut memberikan penghargaan kepada Jawatankuasa Perunding Peneroka (JKPP) yang diketuai oleh Sulong kerana berusaha membawa permasalahan warga peneroka ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita berterima kasih dan amat menghargai usaha JKPP yang berjaya membantu warga peneroka menggunakan saluran yang betul," katanya.

Bagi Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman berkata, bantuan yang diumumkan Dr Mahathir itu pasti melegakan hati 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.

"Pemberian Insentif Produktiviti atau duit raya adalah galakkan agar peneroka Felda meningkatkan hasil pengeluaran mereka sama ada kelapa sawit mahupun getah. Ia juga suatu inisiatif agar para peneroka menjual hasil mereka di kilang Felda (kini Felda Global Venture).

"Pengumuman ini akan memberi rangsangan bukan sahaja kepada peneroka tapi juga generasi baharu Felda sebagai kelompok majoriti yang terlibat dalam pembangunan ladang peneroka selaku pentadbir atau pewaris," katanya.