Bil elektrik naik: Gangguan sistem punca pengebilan lambat

Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Amir Hamzah Azizan pada sidang media mengenai isu bil elektrik tinggi yang di adakan di Ibu Pejabat TNB Bangsar. - FOTO Sinar Harian/Rosli Talib
Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Amir Hamzah Azizan pada sidang media mengenai isu bil elektrik tinggi yang di adakan di Ibu Pejabat TNB Bangsar. - FOTO Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengalami gangguan teknikal melibatkan sistemnya pada 15 hingga 20 Mei lalu sehingga menyebabkan berlakunya kenaikan bil elektrik pengguna.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Amir Hamzah Azizan berkata, pelanggan telah dimaklumkan mengenai gangguan berkenaan menerusi platform disediakan syarikat utiliti tersebut.

“Sekarang sistem telah dipulihkan sepenuhnya dan beroperasi dengan sempurna dan lancar. Sebab itu, bagi sesetengah pelanggan, tempoh pengebilan lebih panjang dari lazim berlaku.

“Bagi menangani isu bil tinggi, kami telah menubuhkan Pasukan Khas Tangani Bil Tinggi diketuai Ketua Pegawai Retail TNB, Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan.

“Pasukan ini akan memantau dan menyemak semua laporan atau aduan diterima,” katanya pada Sidang Akhbar Mengenai Isu Bil Tinggi di Ibu Pejabat TNB di sini, petang tadi.

Jelasnya, TNB juga secara berterusan berkongsi status terkini dan memberi kerjasama penuh berkaitan isu tersebut dengan Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar dan Suruhanjaya Tenaga.

“Ketika ini, kami memberikan tumpuan penuh untuk menangani isu ini,” katanya.

Dalam pada itu, Amir Hamzah memaklumkan pihaknya menerima 14,469 aduan kenaikan bil sejak bulan April dan Mei tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, sebanyak 11,331 aduan telah diselesaikan manakala 3,318 kes lagi masih dalam siasatan.

“Memandangkan isu ini timbul pada musim perayaan, sudah tentulah ia menyebabkan kebimbangan kepada pelanggan. TNB beri jaminan kami akan berusaha pastikan tiada gangguan elektrik.

“Bagi mereka yang membuat laporan dan siasatan masih dijalankan, disconnection notice dan pemotongan bekalan elektrik akan ditangguh buat masa dua minggu,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu seramai 9,300 warga kerja TNB akan ditugaskan pada Hari Raya Aidilfitri bagi memastikan bekalan elektrik terus dibekalkan tanpa gangguan.

“Kami amat berterima kasih atas jasa baik dan pengorbanan mereka agar kita semua dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan sempurna,” katanya.