Raja Muda Perlis santuni masyarakat asnaf di Satun

Mohd Nazim (dua dari kiri) mengetuai bacaan doa memohon kesembuhan salah seorang pesakit yang diziarahi baginda berdua semalam.
Mohd Nazim (dua dari kiri) mengetuai bacaan doa memohon kesembuhan salah seorang pesakit yang diziarahi baginda berdua semalam.
A
A
A

SATUN - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan berangkat mencemar duli menyampaikan sumbangan Ramadan kepada penduduk asnaf di sini bersempena program Ziarah Ihya Ramadan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) semalam.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut meriah oleh penduduk Kampung Pasir Panjang dan Tanjung Po yang teruja dengan kehadiran pasangan kerabat diraja berkenaan.

Dalam program terbabit, Syed Faizuddin berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah 2,000 bhat (RM263) sebagai persedian Aidilfitri kepada golongan fakir miskin, anak yatim dan mualaf.

Lebih bermakna lagi, baginda yang juga merupakan Yang Dipertua MAIPs turut berkenan mencemar duli menziarahi dua pesakit terlantar di rumah mereka di Tanjung Po.

Baginda meluangkan masa hampir sejam menziarahi Ahmad Md Noh, 74, yang lumpuh dan terlantar sejak dua tahun lalu serta Lah Mud, 70, iatu bekas nelayan yang lumpuh kekal sejak 11 tahun lalu.

Kedua-dua pesakit ini menerima sumbangan wang tunai, kits MAIPs Peduli dan beras fidyah yang disampaikan oleh baginda.

Dalam pada itu, Syed Faizuddin turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan tamar kepada Masjid Pasir Panjang, Masjid al- Islamiyah dan Masjid Bagan Belacan di Tanjung Po.

Sumbangan berkenaan adalah bertujuan untuk meringankan beban ahli jawatankuasa masjid menjalankan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan kepada anak-anak kariah di situ.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir dalam program berkenaan ialah wakil rakyat Tanjung Po, Abd Kader Mattani, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Satun, Arun Ummaci dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd. Noor.