Lynas: PH pikul beban BN yang gadai keselamatan rakyat

Fuziah
Fuziah
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terpaksa memikul beban dengan membetulkan kesilapan kerajaan terdahulu yang menggadaikan keselamatan rakyat atas nama keuntungan dengan membenarkan loji pemprosesan nadir bumi dari Lynas Malaysia Sdn Bjd (Lynas) beroperasi di Gebeng.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, sama ada kerajaan dahulu telah tertipu dengan mempercayai naratif Lynas atau hanya mementingkan keuntungan tanpa memikirkan keselamatan rakyat sewaktu membenarkan operasi terbabit.

Menurutnya, hakikatnya ia tetap sama kerana kerajaan hari ini perlu mencari jalan penyelesaian ke atas sisa buangan radioaktif tersebut.

“Saya mengambil masa untuk meneliti video rakaman wawancara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir di Jepun semalam, berkenaan beberapa isu termasuk Lynas.

“Daripada pengamatan saya, isu sisa buangan radioaktif Lynas yang diperkatakan oleh PM (Dr Mahathir) tidak dilaporkan oleh pihak media secara menyeluruh.

“Sebaliknya yang dilaporkan hanya sebahagian daripada ucapan PM di dalam wawancara tersebut, yang menyebut tentang aspek pelaburan dan perlesenan sahaja, tanpa dikaitkan dengan sisa buangan radioaktif tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia benarkan kilang Lynas terus beroperasi

Semalam, semasa dialog dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di Tokyo, Dr Mahathir dilapor mengumumkan Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi itu untuk terus beroperasi di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Pengumuman Perdana Menteri tersebut menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

Mengulas lanjut kenyataan itu, Fuziah berkata, kesemua aspek jawapan Dr Mahathir berhubung isu itu wajar dilaporkan untuk memberi gambaran yang menyeluruh dan seimbang serta bukan gambaran sensasi semata-mata.

Jelasnya, setakat ini belum ada jalan penyelesaian kepada isu sisa buangan radioaktif dari kilang Lynas dan adalah amat penting, orang ramai tidak melupakan isu ini kerana ia merupakan isu sentral di dalam keputusan perlesenan serta pengoperasian kilang Lynas pada masa hadapan.

“Saya berpegang teguh kepada kenyataan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin yang meletakkan syarat penghantaran pulang sisa radioaktif dari kilang Lynas kembali ke negara asal Australia sebagai pra syarat penyambungan lesen pengoperasian kilang Lynas.

“Saya juga difahamkan Bee Yin akan pergi ke Australia pertengahan Jun ini untuk berunding berkenaan mengembalikan sisa buangan radioaktif dari kilang Lynas ini,” katanya.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, rakyat harus memberi ruang kepada Bee Yin mencari jalan merealisasikan syarat tersebut dan terus memberi tekanan kepada Lynas untuk bertanggungjawab terhadap sisa radioaktif mereka, tanpa sebarang kompromi.

Dalam pada itu, beliau berkata, Lynas juga seharusnya menunjukkan kesungguhan dan wajib mengotakan janji bertulis mereka kepada kerajaan Malaysia tahun 2012 untuk mengembalikan sisa radioaktif dari kilang Lynas ke negara asal iaitu Australia.

“Rakyat Malaysia pula tidak boleh tutup mata di atas kesalahan Lynas yang tidak mengotakan janji ini,” katanya.