UMK universiti awam pertama jalin kerjasama dengan GSM

Gabungan kerjasama UMK dan GSM yang bakal membawa manfaat bersama kepada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Kelantan.
Gabungan kerjasama UMK dan GSM yang bakal membawa manfaat bersama kepada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Kelantan.
A
A
A

BACHOK - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menjadi universiti awam pertama menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persatuan Geologi Malaysia (GSM).

Naib Canselor UMK, Prof Ts Dr Noor Azizi Ismail berkata, MoU itu adalah untuk memperkukuhkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan di UMK terutamanya dalam bidang geologi serta bidang lain yang berkaitan.

Menurutnya, inisiatif itu seiring dengan hasrat UMK sebagai universiti yang berusaha menguatkan dan memperkukuhkan keupayaan dalam bidang pengantarabangsaan dengan mengambil pelbagai langkah untuk menjayakan kecemerlangan akademik di samping mempertingkatkan kualiti penyelidikan.

“Pihak UMK membina hubungan dan rangkaian dengan GSM yang merupakan persatuan yang aktif mempromosikan kemajuan sains bumi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara bertepatan dengan bidang pengajian ditawarkan Fakulti Sains Bumi (FSB),” katanya hari ini.

MoU itu ditandatangani Noor Azizi manakala GSM diwakili Presidennya, Rasid Jaapar, yang disaksikan Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Mohd Rafi Yaacob Pejabat Pendaftar, Bangunan Canseleri.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Datuk Dr Ibrahim Che Omar manakala GSM oleh Timbalan Presidennya, Prof Madya Dr Askury Abd Kadir dan Bendahari, Ahmad Nizam Hasan.

Noor Azizi (kanan) dan Rasid (kiri) bertukar dokumen MoU yang ditandatangani hari ini.
Noor Azizi (kanan) dan Rasid (kiri) bertukar dokumen MoU yang ditandatangani hari ini.

Selain itu, Noor Azizi berkata, kerjasama turut merangkumi program penyelidikan dan akademik, pembangunan bahan-bahan saintifik, penerbitan dan maklumat, penganjuran seminar, bengkel, persidangan dan aktiviti-aktiviti lain yang berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, MoU juga adalah untuk tempoh enam tahun bagi memperkukuhkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan di UMK terutamanya dalam bidang geologi dan bidang lain yang berdekatan.

Noor Azizi juga berkata, UMK bersedia bekerjasama dengan Kerajaan Kelantan bagi usahasama memajukan industri sumber mineral untuk mengeluarkan hasil kekayaan bumi demi manfaat kerajaan dan rakyat.

Katanya, UMK mempunyai kepakaran yang mencukupi dan bersedia untuk memberi bimbingan, tunjuk ajar dan nasihat mengenainya.

“Antara hasil bumi yang terdapat di Kelantan ialah emas, batu marmar dan batu permata terletak di kawasan hulu Kelantan termasuk di Gua Musang dan Jeli yang bernilai tinggi,” katanya.

Sementara itu, Rasid berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dijemput menjadi rakan strategik UMK dan menandatangani MoU berkenaan.

Katanya, diharapkan kerjasama berkenaan menjadikan program Geosains dan Fakulti Sains Bumi di UMK berjaya menangani beberapa krisis berkaitan dengan sumber alam dan isu air.

“Kelantan bukan sahaja terkenal dan kaya dengan budaya tetapi juga sumber asli serta kepelbagaian geologi dengan morfologi dan landskap karstik batu kapur serta marmar di Gua Musang,” katanya.

Tambah beliau, sumber semulajadi tersebut bukan hanya boleh diekploitasi sebagai bahan-bahan binaan dan sumber mineral tetapi juga dijadikan eko serta geopelancongan jika tahu dimafaatkan penduduk setempat.

“Contohnya di Kompleks Migmatite Strong di pergunungan stong yang terletak di antara pekan Kemubu dan Dabong amat menarik jika dijadikan Geopark Kebangsaan dengan menggunakan kereta api sebagai pengangkutan utamanya,” katanya.

Beliau berkata, itu adalah contoh-contoh kecil yang mana peranan ahli-ahli Geosains amat diperlukan oleh kerajaan negeri untuk perancangan guna tanah dan merancakkan aktiviti ekonomi.

Katanya, Kelantan juga terkenal dengan isu-isu berkaitan air sama ada permasalahan bekalan bagi kegunaan domestik atau bencana yang disebabkan sumber tersebut.

Kelestarian dan keseimbangan antara air permukaan dan air bawah tanah katanya, amatlah perlu ditekankan.

“Maka di sinilah peranan ahli geologi perlu diketengahkan bagi mencari formula penyelesaian permasalahan ini,” katanya.

Diharapkan juga Geosains dan Fakulti Sains Bumi boleh menjuarai penggunaan teknologi terkini dalam eksplorasi dan eksploitasi sumber semulajadi.

“Ini juga termasuk dalam aspek pengurusan air permukaan dan sub permukaan kerana Kelantan bertuah ini merupakan makmal semulajadi terbaik berhubung perkara ini.

“Di peringkat global, peranan geosains telah diterap dalam usaha mencapai matlamat pembangunan mampan, pengurangan risiko dan bencana, juga menongkah reveolusi industri,” katanya.