SPRM, Silat Cekak Pusaka Hanafi jalin kerjasama banteras rasuah

Md Radzi (tengah) menyampaikan ucapan pada Program Dialog Antirasuah Bersama Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia dan Pelancaran Sedar@Antirasuah di UiTM Puncak Perdana pada Sabtu.
Md Radzi (tengah) menyampaikan ucapan pada Program Dialog Antirasuah Bersama Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia dan Pelancaran Sedar@Antirasuah di UiTM Puncak Perdana pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia menjadi persatuan silat kebangsaan pertama menjalinkan kolaborasi bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Ab Muniem Ibrahim, kolaborasi itu dijalinkan menerusi pelancaran Program Sedar (Self Defence Awareness) dengan slogan SPRM@Antirasuah.

Beliau berkata, program Sedar adalah satu produk atau jenama bagi mempromosi Silat Cekak Pusaka Hanafi dalam kalangan masyarakat khasnya kepada golongan remaja.

"Pakej Sedar ini menekankan kepentingan menjaga diri daripada serangan atau kacau ganggu fizikal dan mental. Gabungan pertahanan diri fizikal dan mental ini mampu melahirkan individu berkualiti dan menjadi aset berharga kepada agama, bangsa dan negara.

"Melalui kualiti pergerakan silat dan nilai-nilai murni yang diterap di dalam pengajaran Silat Cekak Pusaka Hanafi, Sedar dilihat mampu bersama-sama kerajaan di dalam menangani masalah jenayah, dadah, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya," katanya.

Antara tetamu yang hadir pada Program Dialog Antirasuah Bersama Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia dan Pelancaran Sedar@Antirasuah di UiTM Puncak Perdana pada Sabtu.
Antara tetamu yang hadir pada Program Dialog Antirasuah Bersama Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia dan Pelancaran Sedar@Antirasuah di UiTM Puncak Perdana pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Dialog Antirasuah Bersama Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia dan Pelancaran Sedar@Antirasuah di UiTM Puncak Perdana di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden persatuan silat tersebut, Dr MD Radzi Hanafi dan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar (HEP) UiTM Cawangan Selangor, Profesor Madya Dr Badrul Isa.

Dalam pada itu, Ab Muniem berharap kerjasama antara SPRM dan persatuan seni silat berkenaan dapat diteruskan pada masa hadapan dalam usaha membanteras aktiviti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Menurutnya, kekuatan persatuan yang berada di 13 negeri dan tiga buah negara dengan 250 kelas persilatan serta 200,000 orang keahlian dapat dipupuk dengan jati diri antirasuah yang sejati.

"Pelaksanaan program dialog antirasuah bersama persatuan ini juga diharapkan mencapai objektifnya untuk memberi pendedahan awal kepada peserta mengenai cara pengurusan dana terbaik dalam mencegah ketirisan dana kerajaan.

"Program ini juga diharap dapat menjadikan badan-badan sukan dan persatuan sebagai ejen menyebarluaskan mesej antirasuah kepada masyarakat," tambahnya.

Program berkenaan dihadiri lebih 170 peserta dan dilihat mencapai matlamat penganjuran memandangkan ia kali pertama diadakan bersama Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Malaysia.