Serah tugas presiden: Ahmad Zahid wira Umno

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
A
A
A
KUALA LUMPUR - Keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan tugas memimpin parti kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan disifatkan sebagai tindakan seorang wira.

Exco Pemuda Umno, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, beliau bangga dan hormat dengan tindakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu walaupun pada mulanya Ahmad Zahid dilihat enggan berehat.

Menurutnya, beliau juga berbesar hati dengan tindakan dan keputusan presiden yang disifatkan sebagai berjiwa besar.

“Syabas Datuk Seri Presiden (Ahmad Zahid). Saya amat berbangga dan berterima kasih kerana menjadi wira kepada parti. Demi sayangnya pada Umno, beliau berani membuat keputusan berat demi menyelamatkan parti,” katanya.

“Keputusan presiden bukti beliau tidak jadikan parti sebagai perisai untuk individu dan ini menjadikan Umno parti yang kuat kepada prinsip perjuangan untuk rakyat dan ahlinya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Muhamad Muqharabbin berkata, beliau yakin dengan keputusan itu Umno akan kembali bangkit dan dapat merangka gerak kerja lebih lebih fokus.

Beliau juga berharap tiada lagi alasan untuk Ahli Parlimen, ketua bahagian serta ahli akar umbi meletak jawatan atau melompat parti.

“Semoga kita dapat rapatkan saf perbaiki segala kelemahan yang ada dan bersama barisan kepimpinan untuk terus menyatakan Umno akan terus kekal relevan.

“Kita juga akan terus beri sokongan kepada presiden supaya tabah dengan tuduhan dilemparkan kepada beliau, selagi belum bersabit serta dijatuhkan hukuman, kita sebagai manusia, jangan menghukum ikut kehendak sendiri,” katanya.
Artikel Berkaitan:


Terdahulu, Ahmad Zahid akur dengan desakan supaya beliau berundur. Beliau mengumumkan menyerahkan tugas memimpin parti kepada timbalannya, semalam.

Katanya, beliau mengambil keputusan memberi kepercayaan kepada timbalan tresiden untuk menjalankan tugas sebagai presiden berdasarkan kemelut yang dihadapi Umno.

"Saya harap semua polemik mengenai kepimpinan ditamatkan dan saya mahu kepimpinan di peringkat akar umbi foku perkukuhkan parti," katanya.