[VIDEO] Ashraf pertaruh rekod pentadbiran PH, mahu pelihara sawah warisan di Durian Tunggal
ALOR GAJAH – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal, Datuk Ashraf Mukhlis Minghat yakin gabungan itu mampu mencatat kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.

Beliau berkata, keyakinan itu semakin meningkat berdasarkan sambutan positif masyarakat ketika program turun padang bertemu penduduk sepanjang tempoh kempen.
Menurut anak jati Durian Tunggal itu, pengundi khususnya golongan muda perlu membuat penilaian secara matang dengan mengambil kira rekod pencapaian PH ketika mentadbir Melaka pada 2018 hingga 2020.
"Kita mahukan sebuah kerajaan yang baik dan berharap pengundi muda dapat berfikir secara matang dengan melihat pencapaian yang pernah kita lakukan sepanjang tempoh pemerintahan.
"PH merupakan kerajaan di peringkat Persekutuan. Kalau hendak melihat kecemerlangan di Melaka, lihat pencapaian pada 2018 hingga 2020," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.

Mengulas agenda khusus di DUN Durian Tunggal, Ashraf Mukhlis berkata, usaha memelihara kawasan sawah padi sebagai warisan perlu diberi perhatian bagi melindungi kepentingan petani tempatan.
Katanya, perkara itu antara aspirasi yang disuarakan golongan pesawah ketika beliau bertemu mereka sepanjang kempen.
"Durian Tunggal mempunyai warisan yang perlu kita jaga iaitu sawah padi. Apabila bertemu pesawah, mereka memang meminta supaya perkara ini diperjuangkan.
"Saya melihat wajar untuk kita mewujudkan kawasan sawah sebagai sawah warisan," katanya.
Beliau turut berharap pengundi di kawasan berkenaan memberikan peluang kepadanya untuk membawa suara rakyat serta mengusahakan pembangunan yang lebih baik sekiranya diberi mandat.
"Saya berharap pada 14 November ini, pengundi Durian Tunggal keluar awal mengundi dan berikan peluang kepada saya untuk membuktikan serta mengusahakan yang terbaik.
"Durian Tunggal tiada tertinggal," katanya.
Sementara itu, Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perkembangan kempen PH setakat ini menunjukkan petanda baik dengan calon parti itu semakin dikenali dalam kalangan pengundi.
Menurutnya, usaha memperkenalkan calon akan dipergiatkan sepanjang minggu kedua kempen bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap PH.
"Perkembangan baik, calon pun semakin dikenali. Jadi, usaha memperkenalkan calon akan dipergiatkan pada minggu kedua ini.
"Kalau ada aduan, kita cari jalan terbaik. Program jualan agro pun mendapat sambutan baik dan kita nampak penduduk Melaka memberikan sokongan," katanya.
Mohamad berkata, kempen PH digerakkan di semua kawasan bagi memastikan mesej parti sampai kepada pengundi, termasuk menerusi calon muda yang memainkan peranan penting dalam usaha memperluaskan publisiti parti menerusi media sosial.
Bagi PRN Melaka 2026, Ashraf Mukhlis akan menentang calon Barisan Nasional, Datuk Dr Mustafa Musa bagi merebut kerusi DUN Durian Tunggal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
