KDN nafi dakwaan beri kerakyatan kepada 100,000 rakyat China

Datuk Hamidah Osman
Datuk Hamidah Osman
A
A
A

PUTRAJAYA - Dakwaan Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Hamidah Osman yang mengatakan terdapat 100,000 orang pemegang Kad Pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) dari China telah dianugerahkan kewarganegaraan adalah tuduhan tidak berasas dan tidak bertanggungjawab.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui kenyataan media berkata, berdasarkan rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dari 10 Mei 2018 hingga 15 Mei lalu, hanya 37 orang individu dari China dianugerahkan kewarganegaraan Malaysia.

“Permohonan kewarganegaraan hanya boleh dikemukakan setelah seseorang warga asing memenuhi syarat yang diperuntukkan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 [LN82/1694] serta perundangan-perundangan lain yang berkuatkuasa seperti peraturan imigresen.

“Setiap pertimbangan dibuat dengan teliti kerana ia akan menyebabkan warga asing tersebut menikmati keistimewaan dan hak yang sebelum ini hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia sahaja,” kata kenyataan itu semalam. KDN juga menegaskan, kewarganegaraan merupakan anugerah tertinggi Kerajaan Persekutuan dan hak eksklusif yang tidak ditawarkan serta diberikan dengan sewenang-wenangnya.

“Adalah ditegaskan agar mana-mana pihak tidak mengeluarkan dakwaan tidak berasas yang boleh mengelirukan orang awam serta menggugat keharmonian negara. Kementerian ini sentiasa komited dalam memastikan semua penganugerahan kewarganegaraan adalah teratur dan berasaskan prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel Berkaitan: