Perak rakam penghargaan anjur World #QuranHour

Ahmad Faizal menyerahkan gegantung Rumah Ngaji kepada Mohd Khariri (kiri).
A
A

IPOH – Kerajaan Perak merakamkan penghargaan terhadap penganjuran program World #QuranHour kerana berjaya menyemarakkan budaya mengaji sebagai amalan harian kehidupan rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sejak program dilangsungkan, banyak Rumah Ngaji dibuka sekali gus menjadikan Perak sebagai sebuah negeri proaktif dalam melahirkan masyarakat yang sukakan budaya mengaji.

“Langkah untuk mengadakan World #QuranHour ini amatlah dialu-alukan dan saya amat bersyukur dengan pembukaan begitu banyak Rumah Ngaji di negeri ini.

"Rumah-rumah ngaji ini bukan sahaja pusat mempelajari dan membaca al-Quran, tetapi juga bertindak sebagai pusat aktiviti bagi warga emas, seterusnya mempelopori Perak sebagai sebuah negeri yang proaktif dalam menangani dan membela penduduknya yang semakin menua,” katanya ketika berucap pada majlis Penutup World #QuranHour anjuran Pertubuhan Wanita Prihatin Perak di Rumah Ngaji Kediaman Menteri Besar Perak hari ini.

Program yang berlangsung seawal jam 10 pagi itu dimulakan dengan tadarus al-Quran melibatkan 1,300 peserta pelbagai jabatan, agensi, kariah masjid dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahmad Faizal berkata, al-Quran bukan sekadar kitab untuk dibaca dan dihafal tetapi menuntut kepada pemahaman untuk mengupayakan manusia melihat dunia dengan perspektif baru.

Katanya, dalam era pemodenan dan revolusi 4.0 yang sedang melanda negara kini, umat Islam wajib bersifat proaktif, berani menerokai bidang-bidang yang mencabar.

Normah Hanum
Normah Hanum

“Justeru kita harus memperlengkapi amanah ALLAH SWT yang terbesar, iaitu anak-anak dan cucu-cicit mereka, supaya berupaya dan berdaya saing tinggi demi menjalani kehidupan sebagai khalifah yang berjaya.

"Hanya dengan menjadi umat Islam yang berjayalah baru kita dapat mencipta tamadun agung dan mencapai mercu kegemilangan,” katanya.

Dalam majlis itu, beliau selaku penaung Rumah Ngaji Perak turut menyerahkan gegantung Rumah Ngaji kepada Pengasas Persatuan Kebajikan Darul Modahish (PKDM) Mohd Khariri Mohamad Ramli atau lebih dikenali sebagai Cikgu Erin.

Sementara itu, Penasihat Rumah Ngaji Perak, Datin Normah Hanum Ibrahim berkata, fokus aktiviti mengaji kini diperluas dengan mendekati golongan yang tersisih daripada masyarakat dalam usaha mengajak mereka berubah ke arah kebaikan.

Katanya, selain memberi sokongan terhadap penubuhan Rumah Ngaji yang turut disertai mereka yang pernah terjerumus dalam kancah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), Rumah Ngaji juga mengadakan aktiviti mengaji bersama gelandangan.

“Pendekatan kita adalah dengan memberi kasih sayang menerusi al-Quran...Alhamdulillah sudah hampir dua tahun kita jalankan dan impaknya cukup baik, ada kalangan mereka berjaya mengubah diri dan tidak kurang yang menunjukkan minat terhadap Islam,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia