Isu banjir di Meru dapat perhatian

Izham dan beberapa pihak berkaitan meninjau salah satu kawasan saliran yang dilihat menjadi punca kepada masalah banjir di kawasan Meru.
A
A

MERU - Isu banjir di kawasan Taman Daya dan Jalan Teratai bakal diatasi susulan beberapa langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Selangor dan beberapa pihak berkaitan bagi menangani permasalan itu.

Exco Infrastuktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir Izham Hashim berkata, berikutan jumlah kapasiti air yang semakin bertambah, pembinaan kolam takungan air dilihat amat diperlukan bagi meminimakan impak banjir di kawasan tersebut.

Beliau berkata, dengan kewujudan kolam-kolam takungan ini, ia sekali gus dapat membantu menahan sementara aliran air agar tidak tertumpu di kawasan-kawasan rendah khususnya sewaktu hujan lebat.

"Jadi apabila hujan surut, baru air-air ini disalirkan keluarkan dan ia dapat mengurangkan masalah banjir yang telah berlaku di kawasan ini sejak berbelas tahun dahulu lagi," katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan tapak di beberapa lokasi yang terjejas ekoran kejadian banjir baru-baru ini.

Difahamkan, kira-kira 1,000 orang penduduk melibatkan 11 taman di sekitar kawasan Meru terjejas apabila kediaman mereka dinaiki air dalam kejadian banjir kilat.

Malah, kejadian itu juga merupakan insiden keempat berlaku sejak kejadian banjir pada November tahun lalu.

Izham (empat dari kanan) berbincang bersama pihak berkaitan sebelum melakukan lawatan tapak di sekitar kawasan Meru, hari ini.
Izham (empat dari kanan) berbincang bersama pihak berkaitan sebelum melakukan lawatan tapak di sekitar kawasan Meru, hari ini.

Mengulas lanjut, Izham berkata, walaupun terdapat beberapa kolam takungan di kawasan tersebut, namun pihaknya perlu meneliti fungsinya terlebih dahulu bagi memastikan ia diselenggara dengan sebaiknya.

Beliau berkata, ada diantara kolam sedia ada di kawasan berkenaan tidak diselenggara sehingga menyebabkan banyak mendapan, air cetek dan masalah kawalan air.

"Saya juga dapat maklumat, ketika banjir kolam-kolam sedia ada itu sudah hampir tiada air. Ini menunjukkan air hanya masuk seketika ke dalamnya dan keluar balik.

"Jadi ini akan menambahkan lagi kesan banjir di kawasan-kawasan rendah. Kita nak lihat mekanisme bagaimana kita boleh buat kawalan di kawasan itu," katanya.


Izham (dua dari kanan) meninjau salah satu lokasi yang menjadi punca banjir di kawasan Meru sejak beberapa tahun lalu.
Izham (dua dari kanan) meninjau salah satu lokasi yang menjadi punca banjir di kawasan Meru sejak beberapa tahun lalu.

Berhubung isu sistem saliran di kawasan ini, Izham berkata pihaknya juga sudah mengarahkan Majlis Perbandaran Klang untuk memperkemas dan menyelenggara kawasan-kawasan yang dilihat berpotensi untuk menyebabkan berlakunya banjir.

Selain itu, beliau berkata proses menambah baik Sungai Binjai juga sudah siap sepenuhnya manakala Sungai Kapar Kecil pula dijangka siap pada awal Januari tahun hadapan.

"Dan penaiktarafan ini, air-air yang disalirkan ke dua sungai ini dapat membantu mengurangkan risiko banjir yang dihadapi oleh penduduk di sini," katanya.

#meru #banjir Isu banjir di beberapa kawasan sekitar Meru bakal di atasi susulan beberapa langkah yang akan diambil oleh Kerajaan Selangor dan beberapa pihak berkaitan bagi menangani permasalahan itu. Laporan MOJO Sinar Harian: ASYRAF MUHAMMAD

Posted by Sinar Harian Edisi Selangor & KL on Thursday, May 30, 2019


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia