Ahli Parlimen wanita India dikecam berpakaian ala Barat

Chakraborty (kiri) mengambil gambar bersama Jehan di hadapan bangunan Parlimen India. - Foto Twitter Chakraborty
Chakraborty (kiri) mengambil gambar bersama Jehan di hadapan bangunan Parlimen India. - Foto Twitter Chakraborty
A
A
A

NEW DELHI - Dua bintang filem wanita India yang dilantik sebagai Ahli Parlimen baru-baru ini dikecam segelintir pihak kerana berpakaian ala Barat pada hari pertama di Parlimen.

Mimi Chakraborty dan Nusrat Jehan, masing-masing berusia 30 dan 29 tahun, memuat naik gambar di hadapan bangunan Parlimen dengan memakai seluar dan kemeja sekali gus mengundang kecaman pihak yang menganggap penampilan mereka sebagai 'lucah' dan tidak sopan.

"Pakaian saya tidak penting, yang penting kemenangan saya adalah jawapan terbaik buat pihak yang mengkritik pencalonan saya sebelum ini.

"Saya telah bersedia untuk menempuh cabaran baharu sebagai Ahli Parlimen India," kata Jehan.

"Terdapat pihak yang bimbang dengan cara kami berpakaian namun tidak peduli tentang Ahli Parlimen yang korup dan mempunyai kes jenayah walaupun berpakaian seperti orang baik," tambah Chakraborty.

Kedua-dua aktres terkenal dalam indistri perfileman Bengal yang juga dikenali sebagai Tollywood itu merupakan calon Parti Kongres Trinamool yang menang besar di kawasan Bengal Barat.

Penampilan yang berbeza daripada kebanyakan Ahli Parlimen wanita India yang sering memakai sari menjadikan mereka sasaran kecaman.

Namun, tidak semua pihak mengecam, penyokong terutama dalam kalangan generasi muda menganggap Jehan dan Chakraborty sebagai inspirasi yang boleh dicontohi. - Agensi

Artikel Berkaitan: