Rhys William terpanggil hayati keindahan al-Quran

Rhys William - FOTO ROSLI TALIB
Rhys William - FOTO ROSLI TALIB
A
A
A

GOMBAK - Blogger Rhys William melahirkan rasa keterujaan apabila buat permata kali dapat bersama-sama menyertai program World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Rhys berkata, beliau terpanggil untuk menyertai program berkenaan kerana beriltizam untuk mendalami al-Quran pada bulan Ramadan kali ini.

"Tahun ini pada bulan puasa saya memang hendak belajar lebih mengenai Islam.

"Sebab itu hendak belajar pasal al-Quran, jadi saya terpanggil ke program ini boleh baca al-Quran secara beramai-ramai... saya nak dapat pengalaman itu dan nak dapat rasa sendiri keindahannya," katanya kepada Sinar Harian, di sini hari ini.

Berkongsi lanjut, Rhys berharap, kehadirannya pada program hari ini dapat memperkenalkannya dengan individu yang boleh menerangkan dengan lebih lanjut kandungan dalam al-Quran itu sendiri.

"Mungkin saya boleh jumpa orang yang boleh terangkan lebih lanjut mengenai al-Quran," katanya selain menambah bahawa beliau sebelum ini telah belajar membaca al-Quran atas inisiatif sendiri.

"Pernah baca al-Quran sikit-sikit, saya baca terjemahan," katanya lagi.

World #QuranHour yang memasuki tahun keempat penganjurannya akan berlangsung hari ini dengan mengangkat tema 'Solusi Cabaran Sejagat'.

Artikel Berkaitan:

Tahun ini, World #QuranHour mengajak masyarakat untuk memahami empat cabaran dunia akhir zaman dan solusi yang diibrahkan daripada Surah Al-Kahf.

Dijangkakan lebih 3,000 orang akan menyertai kempen berinteraksi dengan al-Quran, baca, faham dan amal di lokasi perdana, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini bermula jam 12 tengah hari.

Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah turut berkenan berangkat mencemar duli untuk bersama mengimarahkan Ramadan dengan penghayatan al-Quran melalui World #QuranHour.

Selain di UIAM, World #QuranHour akan turut diadakan serentak di lebih 2,100 lokasi berdaftar dalam negara dan lebih 79 lokasi di 27 negara luar.

Program ini merupakan koloborasi ummah di bawah naungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dianjurkan bersama oleh UIAM, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Majlis Dakwah Negara, Rumah Ngaji dan Akademi Sinergi Ikhlas Sdn Bhd.

Media turut bergabung atas nama Sinergi Media untuk menjayakan kempen ini termasuk Kumpulan Media Karangkraf, Sinar Harian, Sinar TV), Astro, Kumpulan Media Prima, RTM, Bernama, TV Alhijrah, IKIMfm, Kumpulan Utusan, Kumpulan NSTP dan blogger, Denaihati Network.