Ramadan bawa rezeki kepada pengusaha telur masin

Rohani menunjukkan telur masin yang siap diproses.
Rohani menunjukkan telur masin yang siap diproses.
A
A
A

YAN - Kedatangan Ramadan memberikan khabar gembira buat seorang pengusaha telur masin apabila hasil jualannya meningkat dengan mendadak.

Rohani Othman, 67 berkata, selain daripada teruja meningkatkan amal ibadat pada bulan berkenaan dia juga gembira kerana telur masin hasil tangannya mampu terjual lebih 5,000 biji sepanjang Ramadan ini.

Katanya, kebiasaannya dia hanya mampu menjual kurang daripada 500 biji untuk tempoh satu bulan.

"Alhamdulillah dengan peningkatan hasil jualan pada setiap kali Ramadan memberikan sedikit kelegaan buat saya untuk melakukan persediaan raya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Pial semalam.

Menurut Rohani, dia melakukan proses penyediaan telur masin seorang diri dengan bekalan diperoleh dari penternak itik berdekatan rumahnya.

"Dulu saya ada pelihara itik, tapi hampir setiap hari mesti ada itik yang mati, bila jumlah yang mati mencecah 50 ekor saya buat keputusan untuk berhenti pelihara.

"Sekarang ni saya dapatkan bekalan telur dari jiran berdekatan yang memelihara itik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Rohani menyusun bekas yang mengandungi telur itik yang sedang direndam air garam untuk dijadikan telur masin.
Rohani menyusun bekas yang mengandungi telur itik yang sedang direndam air garam untuk dijadikan telur masin.

Rohani berkata, sebiji telur itik dibeli dengan harga 70 sen dan dijual semula setelah siap direndam air garam dengan harga RM1.

"Kalau ikut kiraan saya tak untung banyak mana pun, tapi jika kuantitinya banyak Insya-ALLAH ia mencukupi untuk menanggung keperluan saya membeli suplemen tertentu untuk buah pinggang," katanya.

Rohani berkata, beliau pernah mengalami kanser buah pinggang menyebabkan organ berkenaan telah dibuang.

"Pendapatan yang diperoleh saya gunakan untuk belikan suplemen tertentu untuk buah pinggang saya dan Alhamdulillah saya semakin sihat," katanya.

Telur itik yang dibeli dibasuh terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam air garam.
Telur itik yang dibeli dibasuh terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam air garam.

Rohani berkata, dia mula melibatkan diri dalam aktiviti mengusahakan telur masin ini sejak 15 tahun lalu.

"Dulu saya ada usahakan ikan pekasam, tapi hari demi hari persaingan makin tinggi menyebabkan saya beralih ke arah telur masin dan Alhamdulillah pendapatan memberangsangkan," katanya.

Menurut Rohani, telur yang dibeli dibasuh terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam air garam.

"Mencecah 10 hari telur yang direndam barulah saya boleh jual telur berkenaan," katanya.

Tambah Rohani, telur itik mempunyai khasiat yang sangat tinggi dan baik untuk kesihatan diri.

"Telur itik kaya dengan vitamin B2, protein, mineral, kalsium dan zat besi sehingga dapat mencegah masalah kekurangan darah dan meningkatkan pertumbuhan tulang.

"Telur itik yang diawet menjadi telur masin juga tidak hilang khasiatnya tetapi perlu dimakan dalam kuantiti yang sedikit kerana kandungan garam yang banyak di dalam telur tersebut adalah tidak baik untuk kesihatan," katanya.