Pinjaman RM4b kepada SRC antara pinjaman terbesar dipersetujui KWAP

Najib
Najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh hari ini mengakui bahawa sepanjang perkhidmatan beliau selama enam tahun di agensi itu, pinjaman berjumlah RM4 bilion kepada SRC International Sdn Bhd adalah antara pinjaman terbesar yang pernah dipersetujui oleh KWAP.

Azian, 66, yang menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini berkata beliau telah dilantik sebagai CEO pertama KWAP dan ahli ex-officio kepada Lembaga Pengarah agensi itu pada Mac 2007 sebelum bersara wajib pada 17 Mac 2013.

"Berdasarkan pengalaman saya sepanjang berkhidmat di KWAP, kedua-dua pinjaman kepada SRC yang berjumlah RM4 bilion ini merupakan antara pinjaman terbesar yang pernah dipersetujui oleh KWAP, " katanya ketika membacakan penyataan saksi pada hari ke-20 perbicaraan kes bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Saksi ke-38 pendakwaan itu berkata KWAP telah meluluskan pinjaman pertama sebanyak RM2 bilion kepada SRC International Sdn Bhd pada 2011 dan pinjaman kedua bagi jumlah yang sama pada tahun berikutnya (2012).

Azian, yang kini ahli Lembaga Pengarah Danajamin Nasional Berhad, berkata KWAP juga ada menerima surat Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh 28 Mac 2012 yang merupakan persetujuan Kerajaan Malaysia untuk memberikan jaminan kepada SRC International Sdn Bhd bagi pinjaman tambahan RM2 bilion bagi tempoh 10 tahun selaras dengan kelulusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012.

"Surat ini memohon KWAP untuk mempertimbangkan agar pengeluaran wang pinjaman dapat dilakukan terlebih dahulu dan Kementerian Kewangan memberikan aku janji untuk menyerahkan jaminan kerajaan selewat-lewatnya dalam tempoh 10 hari," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ishak Mohd Yusoff.

Disoal Ishak sama ada KWAP pernah mengeluarkan wang terlebih dahulu kepada peminjam sebelum memperoleh surat jaminan, saksi itu berkata situasi sedemikian tidak pernah berlaku.

Azian juga mengesahkan bahawa terdapat surat daripada Kementerian Kewangan bertarikh 18 Mei 2012 yang dikeluarkan bagi meminda tujuan pinjaman itu diberikan kepada SRC.

Artikel Berkaitan:

"Surat ini menyatakan bahawa pinjaman adalah untuk membiayai aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan sahaja, dan bukan untuk aktiviti pelaburan am. Surat ini juga adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Februari 2012," katanya.

Saksi itu berkata wang pinjaman daripada KWAP hanya boleh digunakan untuk tujuan aktiviti pelaburan dalam sumber asli dan modal pusingan sahaja, dan jika ia digunakan bagi tujuan lain, ini akan melanggar terma-terma perjanjian serta boleh mengakibatkan 'Event of Default' dalam perjanjian pinjaman.

"Sekiranya perkara ini berlaku dan diketahui oleh KWAP, KWAP boleh menamatkan perjanjian pinjaman serta membuat tuntutan bayaran balik segala baki pinjaman pokok bercampur faedah yang dikenakan daripada peminjam," katanya.

Ketika disoal peguam Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden, yang mewakili Najib, sama ada pinjaman yang dilakukan oleh SRC International mematuhi prosedur KWAP, Azian berkata, “Ya”.

Mohd Yusof: Pinjaman itu bukan saja mematuhi prosedur malah bayaran juga dibuat dengan mematuhi semua syarat KWAP?

Azian: Ya.

Azian juga bersetuju bahawa SRC International telah memenuhi semua syarat dalam dokumen yang disediakan oleh peguam panel yang dilantik daripada Tetuan Hisham Sobri Kadir.

Saksi itu juga berkata SRC International layak mendapat pinjaman daripada KWAP kerana syarikat itu adalah di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.