Projek KTSB dijangka siap tiga tahun lagi

Wakil lapan buah tahfiz yang menerima sumbangan bergambar bersama Hanafiah (lapan, kiri) dan Saabi (tujuh, kiri) sempena Majlis Iftar EPIC Bersama Pelajar-Pelajar Tahfiz.
Wakil lapan buah tahfiz yang menerima sumbangan bergambar bersama Hanafiah (lapan, kiri) dan Saabi (tujuh, kiri) sempena Majlis Iftar EPIC Bersama Pelajar-Pelajar Tahfiz.
A
A
A

KEMAMAN – Projek pembinaan Kompleks Kuala Terengganu Support Base (KTSB) di Tanjung, Kuala Terengganu kini sedang berjalan lancar dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

Projek berkenaan merupakan salah satu daripada komponen utama di bawah projek pembangunan Pusat Bandaraya Kuala Terengganu atau Kuala Terengganu City Centre (KTCC) yang dilaksanakan sepenuhnya oleh Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, syarikat milik kerajaan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Saabi Wahab berkata, setakat ini perkembangan pelaksanaan projek tersebut agak memberangsangkan.

"Kajian berkaitan pembinaan kompleks tersebut termasuk dari aspek hidrografi baharu sahaja selesai dilakukan sebelum kerja-kerja memulakan proses dokumen tender dilakukan hujung bulan ini bagi membina sebuah jeti kekal untuk menggantikan jeti sementara di situ.

"Jika siap jeti tersebut ia juga boleh digunakan untuk pelancong berlepas ke pulau atau balik ke pulau berhampiran, itu rancangan kita," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Iftar Ramadan EPIC Berhad 1440 Hijrah Bersama Pelajar-Pelajar Tahfiz Daerah Kemaman di Dewan Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB) di Telok Kalong.

Saabi ketika mengulas lanjut berkata, pembinaan sebuah jeti pendaratan kekal bagi penggunaan kapal dan bot itu adalah antara komponen utama projek tersebut bagi menggantikan jeti sementara.

Menurutnya, apabila siap sepenuhnya nanti kompleks KTSB itu bakal dilengkapkan dengan beberapa kemudahan asas lain termasuk pejabat imigresen yang dilengkapi dengan mesin imbasan (scanning), ruang-ruang pejabat bagi pelanggan utama EPIC seperti Petronas dan ExxonMobil.

Artikel Berkaitan:

Antara kemudahan lain yang turut dibina ialah kemudahan surau, sebuah kafe dan beberapa buah bilik rehat untuk dijadikan tempat pertukaran pekerja pelantar minyak bagi syarikat Petronas dan Exxonmobil.

Kata Saabi, jeti berkenaan juga bakal dijadikan tempat bagi kemudahan bot-bot pelancong membawa penumpang dan para pelancong ke beberapa destinasi pulau peranginan terkenal di Terengganu.

Sementara itu, pada majlis berkenaan seramai 356 pelajar tahfiz daripada lapan buah sekolah di sekitar daerah ini menerima sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada EPIC Berhad yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri merangkap Pengerusi KSB Sdn Bhd, Hanafiah Mat.