'Peruntukan zakat bukan untuk dipolitikkan'

Gambar kecil, Mohd Norhiesam
Gambar kecil, Mohd Norhiesam
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) diminta agar lebih peka, sensitif dan dapat memberikan garis panduan tentang hal agihan zakat ini supaya tidak terus menjadi fitnah dalam masyarakat.

Ia berikutan tindakan beberapa pemimpin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bukan beragama Islam yang dilihat 'sibuk' mengagihkan hamper zakat kepada asnaf yang jelas mereka tidak peka dan sensitif dengan agama Islam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, pihaknya kecewa dan sedih atas isu yang ditularkan berkaitan tindakan ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit yang telah memuatnaikkan gambarnya mengagihkan hamper zakat di Pulau Tikus, sebelum ini.

Menurutnya,sumbangan tersebut adalah dari sumber zakat orang Islam yang dibayar, diurus dan penerimanya juga adalah dari orang Islam.

"Tidak menjadi kesalahan untuk beliau turut hadir bersama dalam penyampaian tersebut tetapi sebagai menghormati institusi Islam namun berilah wakil atau pemimpin Islam untuk menyampaikan sumbangan zakat ini.

"Masih ramai lagi pemimpin-pemimpin atau NGO ( badan bukan kerajaan) Islam yang berada di dalam negeri ini yang lebih layak untuk menyampaikannya," katanya ketika dihubungi di sini.

Mohd Norhiesam berkata, perlu diingatkan sumbangan ini adalah hasil pungutan zakat umat Islam tidak mengambil kira latar belakang politik bukan peruntukan politik atau peruntukan dari Kerajaan Persekutuan atau negeri.

Katanya, rata-rata ahli parlimen dan ADUN di negeri ini khususnya dari Kerajaan PH yang majoritinya bukan beragama Islam menggunakan hamper zakat ini semata-mata untuk mendapatkan ‘millage politik’.

Artikel Berkaitan:

"Peruntukan zakat bukan untuk dipolitikkan, ini soal agama. Persoalannya di mana peruntukan Parlimen dan ADUN untuk sumbangan Ramadan tahun ini??

"Kami juga menerima banyak rungutan dari pihak kepimpinan masjid dan surau, sejak kerajaan PH memerintah tiada lagi sumbangan dari pihak ADUN dan Ahli Parlimen malah tidak semeriah dulu bagi menghidupkan pelbagai aktiviti di bulan yang mulia ini bagi umat Islam," katanya.

Beliau berharap supaya isu ini tidak dijadikan agenda kerajaan DAP untuk mencampuri hal ehwal umat Islam di negeri ini.

Tambahnya, duit zakat adalah hasil ibadat orang Islam, maka orang bukan Islam tidak perlu masuk campur dan biarlah orang Islam yang mengurus dan menyampaikan kepada asnaf yang layak.

ARTIKEL BERKAITAN: ZPP jawab isu pemimpin bukan Islam serah bantuan zakat