KPKT, Peguam Negara didesak beri penjelasan masuk akal

Nik Saiful
Nik Saiful
A
A
A

KOTA BHARU – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Peguam Negara didesak untuk memberi penjelasan yang masuk akal mengenai penarikan peguam melibatkan isu kematian anggota Bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Exco Pemuda UMNO, Nik Saiful Adli Burhan berkata, kerajaan seharusnya menjawab segala persoalan yang timbul, bukannya membuka ruang untuk rakyat melemparkan tohmahan terhadap sistem perundangan negara ini.

“Jika benar KPKT tidak mampu membela nasib Allahyarham Adib, Pemuda UMNO Malaysia sejak awal-awal lagi telah menawarkan khidmat peguam dan tidak perlulah tawarkan khidmat kalau hanya untuk suka-suka.

“Saya ingin ingatkan kembali Peguam Negara, inkues ini adalah untuk mencari kebenaran dan membela kematian mangsa, bukannya menyembunyikan kesalahan mana-mana penjenayah,” katanya melalui satu kenyataan di sini.

Menurutnya, seluruh masyarakat yang mengikuti inkues kes kematian Muhammad Adib terkejut dengan penarikan diri Peguam Pemerhati yang dilantik oleh KPKT daripada inkues kes ini.

Pengerusi Kluster Peguam Muda, Pemuda UMNO itu juga berkata, lebih mengejutkan apabila berita melaporkan ia dibuat oleh KPKT atas arahan Peguam Negara dengan alasan tugasan yang bertindan antara pegawai daripada Jabatan Peguam Negara dan Peguam lantikan KPKT, Syazlin Mansor.

“Pada asalnya adalah jelas bahawa peranan peguam pemerhati ini adalah bagi melengkapkan apa-apa kekurangan sepanjang prosiding berjalan. Malah saksi-saksi yang dibawa oleh KPKT amat membantu dalam mencari punca kematian Adib.

“Pihak-pihak dalam inkues ini seharusnya saling membantu koroner bagi mencari punca kematian, membawa saksi-saksi dan bukti yang penting serta memastikan segala kekurangan sepanjang inkues sama-sama dilengkapkan.

Artikel Berkaitan:

“Berbeza dengan perbicaraan kes jenayah yang melibatkan pihak-pihak yang menentang satu sama lain. Banyak persoalan yang timbul apabila penarikan balik peguam ini hanya selepas 36 hari inkues, yang hanya berbaki dua hari lagi.

“Malah tindakan ini dilihat akan mengganggu perjalanan inkues lebih-lebih lagi Syazlin telah pun membantu sejak mula inkues. Saya harap kerumitan ini dapat diungkai dan tiada pesalah yang boleh diselindungkan dalam hal ini,” katanya.