Tumpuan kekuatan beralih ke Batu Pahat

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor mengalihkan sub-tek operasi dari Johor Bahru ke Batu Pahat sepanjang tempoh penugasan Op Selamat 15/2019.

Konsep sub-tek adalah memberi tumpuan kepada daerah dan kawasan mencatatkan jumlah kemalangan maut yang tinggi serta menggunakan pendekatan berteraskan total enforcement.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pengalihan sub-tek bagi peringkat Kontinjen Johor itu kerana mahu adanya penumpuan ekstra kekuatan di Batu Pahat.

"Batu Pahat ini berada di ranking lima teratas dalam Malaysia, yang paling banyak kemalangan maut. Untuk makluman, kemalangan maut di Batu Pahat pada 2018 (sepanjang tahun) mencatatkan 53 kes. Manakala 2019 (dari bulan Januari hingga April) naik lagi menjadi 54 kes.

"Jadi Batu Pahat ini, menjadi nombor satu di Johor dan nombor dua di dalam negara. Kenyataan dikeluarkan oleh YB Menteri itu saya amat sokong," katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat 15/2019 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kontinjen Johor di Plaza Tol Skudai (arah Selatan) di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan menyatakan Batu Pahat merupakan daerah mencatatkan kadar kemalangan tertinggi bagi tempoh 2015 hingga 2017, kelmarin.

Ditanya faktor menyumbang kepada kemalangan maut di Batu Pahat, Mohd Khalil berkata, banyak pihak mengaitkannya dengan keadaan jalan raya, adab serta pencahayaan.

"(Bagaimanapun) ia bukan masalah isu jalan kampung ke, jalan bandar atau sebagainya. Di Malaysia, isunya ialah diri kita (sendiri)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kemalangan maut di Batu Pahat itu kebanyakannya melibatkan motosikal.

Selain itu, katanya, Polis Johor berharap supaya pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mengkaji jalan raya yang ada keperluan untuk dinaik taraf.

"Saya juga menyokong penuh jika kerajaan negeri atau persekutuan menyediakan laluan motosikal khusus bagi Johor.

"Bukan sahaja kita ada ramai penunggang yang beriadah di Johor, tetapi juga kita menampung penunggang yang berulang alik antara Johor-Singapura," katanya.