Ketua sel 'Wolf Pack' dihadap ke mahkamah

Mahadi dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu setelah selesai kesemua pertuduhan dibacakan.
Mahadi dibawa keluar dari kamar Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu setelah selesai kesemua pertuduhan dibacakan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Ketua sel 'Wolf Pack' kumpulan pengganas Daesh yang dikatakan merancang pembunuhan ke atas empat individu berprofil tinggi serta serangan berskala besar ke atas tempat ibadat bukan Islam di Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.

Tertuduh, Mahadi Mamat, 34, dari Kampung Teris, Hulu Terengganu yang berdepan lapan pertuduhan hanya mengangguk faham ketika kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Azimah Yaacob.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan membuat ancam serangan di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah mencari sokongan terhadap suatu perbuatan pengganas dengan membuat ancaman untuk membunuh empat warga Malaysia melalui kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa'.

Tertuduh juga didakwa dengan pengetahuan telah bersetuju untuk memberikan latihan dalam penggunaan senjata api kepada ahli kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa' serta memberikan arahan untuk melakukan perbuatan pengganas kepada ahli kumpulan iaitu bagi pertuduhan ketiga dan keempat.

Selain itu, tertuduh didakwa dengan niat untuk melakukan perbuatan pengganas, telah mendapatkan enam butir 'pipe bomb' untuk melaksanakan perbuatan pengganas.

Manakala untuk pertuduhan keenam pula, tertuduh didakwa dengan niat untuk melakukan perbuatan pengganas telah mendapatkan sepucuk pistol semi automatic CZ 75 B dan 15 butir peluru jenis 'Luger 9MM' untuk melaksanakan perbuatan pengganas tersebut.

Pertuduhan ketujuh pula, tertuduh didakwa dengan pengetahuan telah merektur beberapa orang lain untuk menyertai kumpulan WhatsApp 'Sejati Sejiwa' untuk melakukan suatu perbuatan pengganas.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh juga didakwa telah memiliki item-item yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Daesh dan perbuatan keganasan di dalam sebuah telefon bimbit jenama Alcatel.

Kesemua pertuduhan didakwa dilakukan di Kampung Teris, Hulu Terengganu, kira-kira jam 5.45 petang dan 9.48 malam, pada 7 Januari hingga 5 Mei lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 130J (1) (B), Seksyen 130J (1) (B), Seksyen 130F (A), Seksyen 130F (B), Seksyen 130JD (1), Seksyen 130 E dan Seksyen130 JB (1) (A) Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Izhanudin Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Seterusnya, mahkamah menetapkan 9 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan tidak menawarkan sebarang jaminan.

Sebelum ini media ada melaporkan empat lelaki termasuk warga tempatan ditahan kerana disyaki merancang melancarkan serangan terhadap rumah ibadat dan pembunuhan beberapa individu berprofil tinggi di negara ini.

Serangan dipercayai bermotifkan dendam bagi menuntut bela atas kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, dalam kejadian rusuhan di Kuil Sri Maha Mariaman Seafield, tahun lalu.