Lelaki didenda RM1,800 miliki wang curi RM150

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki didenda RM1,800 di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini kerana mengaku memiliki wang curi berjumlah RM150, lapan tahun lepas.

Tertuduh, Hafriezaldi Mohamad, 35, dari Felda Sebertak Triang, Pahang, turut berdepan hukuman tiga bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana mengetahui harta (duit) dimiliki adalah duit curi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyimpan harta curi iaitu wang berjumlah RM150 milik Shahrul Syawal Malike, 31, yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya menerusi pindahan perbankan internet.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 3.45 petang di Pejabat Tapak Kompleks Tabung Haji Gong Badak, Kuala Nerus pada 28 Julai 2011.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full di hadapan Majistert Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Berdasarkan fakta kes, pada 28 Julai 2011, mangsa telah berminat dengan tawaran jualan sebuah telefon bimbit jenis Nokia yang diiklankan di laman mudah.my.

Artikel Berkaitan:

Setelah berbincang dengan pengiklan (tertuduh) mangsa bersetuju membeli telefon berkenaan dan membuat pindahan wang melalui perbankan internet ke dalam akaun yang diarahkan berjumlah RM150, kira-kira jam 3.45 petang.

Bagaimanapun, mangsa menyedari dirinya sudah ditipu oleh tertuduh setelah gagal dihubungi dan dikesan sejurus memasukkan wang berkenaan sebelum membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Susulan laporan dibuat, tertuduh ditangkap kira-kira jam 3.50 petang, di pekarangan hadapan Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan, pada 23 Disember 2018.