Doktor antara 50 individu terlibat buli siber

Dr Hafiz (dua, kanan) bersama Asiah (kanan) pada sidang media pembuli siber di Hotel De Art, Seksyen 7,di sini, hari ini.
Dr Hafiz (dua, kanan) bersama Asiah (kanan) pada sidang media pembuli siber di Hotel De Art, Seksyen 7,di sini, hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Seramai 50 individu terdiri daripada pegawai perubatan dan kakitangan Kementerian Kesihatan dikenal pasti terlibat dalam kegiatan buli siber menerusi halaman Facebook Pseudoscience Watch (PW) atau lebih dikenali sebagai PW Community.

Peguambela dan Peguamcara, Asiah Abd Jalil berkata, kesemua individu itu dikenal pasti terlibat meninggalkan komen berunsur fitnah terhadap anak guamnya, Dr Hafiz Sulaiman dan mendakwa beliau menjadi penyebab kematian seorang bayi pada tahun 2016.

Beliau berkata, menerusi semakan dibuat menunjukkan sebahagian daripada individu tersebut merupakan pegawai perubatan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan yang masih aktif dan sedang bercuti untuk menyambung pelajaran.

Katanya, lebih mengejutkan ada juga antara mereka merupakan ahli farmasi dan juga pensyarah.

"Pihak kami juga sudah bertemu dengan beberapa individu terbabit yang disyaki terlibat tetapi mereka kata tidak takut untuk diambil tindakan kerana dilindungi oleh seseorang yang didakwa sebagai 'Dr Hisham'.

"Kita tidak pasti siapa individu yang dimaksudkan tetapi mohon individu itu tampil memberi penjelasan sama ada dia terlibat atau tidak dengan kegiatan tersebut, " katanya pada sidang akhbar pembuli siber di Hotel De Art ICity, Seksyen 7, di sini hari ini.

Asiah berkata, pihaknya kini sedang meneliti lebih lanjut komen-komen ditulis 50 individu terbabit, sebelum menentukan tindakan akhir yang akan diambil.

Artikel Berkaitan:

Dr Hafiz menunjukkan antara komen yang ditujukan kepadanya oleh komuniti PW. (Gambar kecil: Asiah)
Dr Hafiz menunjukkan antara komen yang ditujukan kepadanya oleh komuniti PW. (Gambar kecil: Asiah)

"Kita jangkakan akan hantar notis tuntutan kenyataan fitnah di laman sosial kepada mereka yang terlibat selepas hari raya.

"Notis tuntutan ini bukanlah untuk mendapatkan ganti rugi tetapi ia lebih kepada untuk membersihkan nama anak guam saya serta menggesa individu terlibat membuat permohonan maaf secara terbuka serta menuntut penjelasan Kementerian Kesihatan kerana hampir kesemua individu yang disyaki terlibat terdiri daripada kakitangan kerajaan, "katanya.

Sementara itu, Dr Hafiz berkata, dalam kesnya, beliau dituduh PW kononnya memberi nasihat kepada seorang ibu sehingga menyebabkan kematian kepada bayinya.

"PW ini menyebarkan fitnah ke atas saya menerusi komen di 'page' Facebook mereka termasuk mengugut dan menakut-nakutkan yang polis dan Kementerian Kesihatan akan mencari saya.

"Sedangkan perkara sebenar, ibu kepada bayi itu tidak pernah mengaitkan saya dalam kematian anaknya, " katanya.

Beliau berkata, Komuniti PW ini begitu licik apabila mereka kemudiannya menghentam pula ibu bayi berkenaan menerusi status lain dan menuduh wanita itu mengikut telunjuknya.

"Komen atau tindakan komuniti ini sangat menjengkelkan, seolah-olah mereka ini penyangak siber.

"Perbuatan mereka ini tidak menggambarkan sikap sebenar penjawat awam," katanya.

Dalam pada itu, Dr Hafiz juga akan membuat laporan polis serta aduan di Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bersama mangsa-mangsa buli siber lain selepas hari raya.