Dua pelumba setiap negara acara elit?

Datuk Abu Samah Abd Wahab
Datuk Abu Samah Abd Wahab
A
A
A
DELEGASI Teknikal (TD) Sukan Sea 2019 Filipina, Datuk Abu Samah Abd Wahab menyifatkan tindakan penganjur disiplin berbasikal temasya itu untuk mengehadkan hanya dua pelumba dari setiap negara bagi acara elit lelaki iaitu lepas beramai-ramai sebagai tindakan lucu.

Abu Samah yang juga Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), berkata pihak penganjur juga tidak mahu menerima usul menyenaraikan acara lepas beramai-ramai berpasukan dengan alasan enggan membazir wang kerana perlu meletak ramai pegawai bertugas sepanjang perlumbaan.

“Jika anda sertai acara lepas beramai-ramai di Sukan Olimpik, Sukan Asia atau Sukan Komanwel, jumlah penyertaan ialah empat pelumba setiap negara. Ini amalan biasa pada mana-mana kejohanan besar.

“Bagaimanapun, penganjur acara lepas beramai-ramai Sukan Sea 2019 hanya membenarkan dua pelumba dari setiap negara di rantau Asia Tenggara. Saya fikir hanya 10 negara akan sertai acara lepas beramai-ramai.

“Bermakna hanya 20 pelumba di atas jalan, berbanding 40 pelumba biasanya. Saya fikir tindakan ini sangat melucukan dan bertentangan amalan sedia ada,” katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Abu Samah berkata beliau juga telah berbincang dengan pengurus acara lepas beramai-ramai dan mengemukakan semula usul meminta semua negara Asean menyenaraikan empat pelumba untuk acara tersebut.

Beliau menegaskan bahawa penganjur tidak perlu menyediakan pegawai yang ramai untuk acara itu kerana pemenang ditentukan berdasarkan negara yang mempunyai tiga pelumba terpantas.

“Saya fikir mereka faham konsep perlumbaan kerana sudah lama berkecimpung dalam Sukan Sea, namun mereka mungkin ada muslihat tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Abu Samah berkata Filipina telah mengambil tindakan ‘berani tetapi kurang bijak’ apabila menyenaraikan acara BMX Freestyle Park, BMX Freestyle Street dan BMX Freestyle Best Trick.
Artikel Berkaitan:


“Saya katakan kepada mereka ada kemungkinan acara tersebut tidak mendapat sambutan kerana setahu saya hanya Thailand, Filipina dan Indonesia berminat terhadap acara tersebut. Mereka minta sokongan Malaysia tapi saya tegaskan bahawa Malaysia ketika ini tidak memiliki pelumba sesuai untuk tiga acara tersebut,” katanya .

Menurut Abu Samah, sekiranya hanya tiga negara menghantar permohonan penyertaan, beliau selaku TD tidak boleh meneruskan acara berkenaan.

“Saya minta penganjur fikirkan semula tentang perkara ini,” katanya.

Setakat ini sembilan acara lelaki telah disenaraikan iaitu BMX Track, BMX Freestyle Park, BMX Freestyle Street, BMX Freestyle Best Trick, MTB rentas desa; MTB turun bukit, lepas beramai-ramai individu, ujian masa individu dan ujian masa berpasukan.

Bagi kategori wanita hanya empat acara disenaraikan iaitu MTB rentas desa, MTB turun bukit, ujian masa individu dan lepas beramai-ramai. - Bernama