Abu Samah terima Anugerah Merit ACF

Amarjit menyerahkan Anugerah Merit ACF kepada Abu Samah sambil diperhatikan barisan Naib Presiden PKBM di Nilai pada Selasa.
Amarjit menyerahkan Anugerah Merit ACF kepada Abu Samah sambil diperhatikan barisan Naib Presiden PKBM di Nilai pada Selasa.
A
A
A

PRESIDEN Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab melakar sejarah baharu dalam arena sukan tanah air apabila menerima Anugerah Merit Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF).

Kejayaan itu juga bermakna Abu Samah muncul tokoh sukan pertama di negara ini yang menerima Anugerah Merit daripada badan induk dunia - Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI); benua - Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) dan wilayah serantau - ACF.

Setiausaha Agung ACF, Datuk Amarjit Singh berkata, pengiktirafan itu atas jasa Abu Samah yang telah mengasaskan Persatuan Berbasikal ASEAN (ACA) pada 2001 selain sumbangan berterusan kepada sukan berbasikal di Asia Tenggara sejak awal tahun 90-an.

“Usul untuk memberi ACF Merit kepada Abu Samah telah diusulkan oleh Presiden ACF (Jeneral Decha Hemkasri). Usul ini telah diterima sebulat suara oleh Ahli Pengurusan Eksekutif ACA.

“Anugerah ini diluluskan juga oleh Kongres ACF 2023 yang bermesyuarat di Siam Reap, Kemboja pada 10 Mei lalu. Ia satu kejayaan yang sangat unik untuk beliau dan sukan berbasikal di Malaysia,” katanya selepas Mesyuarat Exco PKBM di Nilai, Negeri Sembilan pada Selasa.

Sementara itu, Abu Samah menganggap pengiktirafan terbaharu yang diterima daripada ACF sebagai 'pembuka mata' kepada semua tokoh sukan berbasikal di negara ini.

“Saya berterima kasih kepada ACF yang telah mengiktiraf semua kerja saya sejak awal tahun 90-an. Saya ikhlas dan komited untuk membangunkan dunia berbasikal di Asia dan ASEAN bersama rakan-rakan daripada negara lain.

“Di Malaysia, saya telah menyediakan pelbagai peluang kepada generasi baharu, masa saya akan berakhir tidak lama lagi. Saya sentiasa bersedia untuk membimbing generasi muda agar menjadi pentadbir muda sukan yang berkaliber dan berkualiti,” jelasnya.

Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat ACC menerima Anugerah Merit UCI pada 2012. Beliau merupakan penerima ketiga dari Malaysia selepas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed dan bekas Presiden ACC, Tan Sri Darshan Singh.

Pada 2014, beliau dipilih sebagai penerima Anugerah Merit ACC berdasarkan sumbangannya kepada sukan berbasikal di benua Asia dan menerimanya daripada Presiden ACC ketika itu, Choo Hee Wok.