Ustaz Din Kembal meninggal dunia

Allahyarham Ustaz Din ketika melakukan tahnik seorang bayi sambil diperhatikan Sanusi di sebuah rumah penduduk baru-baru ini.
Allahyarham Ustaz Din ketika melakukan tahnik seorang bayi sambil diperhatikan Sanusi di sebuah rumah penduduk baru-baru ini.
A
A
A

KUALA KETIL - Pengerusi Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin, Ahmad Shahabudin Ibrahim atau dikenali sebagai Ustaz Din Kembal atau Ustaz Din Morocco meninggal dunia akibat serangan jantung ketika dalam perjalanan ke Hospital Sik pagi semalam.

Anaknya, Mohd Syairozi Ahmad Shahabudin, 24, berkata, ketika mereka sekeluarga bangun sahur ayahnya ada mengadu sakit di bahagian dada.

"Masa kami bangun sahur, ayah ada mengadu sakit dada. Ayah juga kata tak pernah rasa sakit macam tu," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, sehari sebelum itu, ayahnya menjalankan rutin biasa menjadi menjadi imam solat Subuh di Masjid Perkampungan Raudhatul Muslimin.

"Tiada sebarang perubahan pada ayah dan saya lihat ayah banyak luang masa bersama kawan baiknya (Sanusi Mohd Ramli)," katanya yang merupakan anak kedua daripada enam beradik.

Sementara itu, Sanusi Mohd Ramli, 62, berkata, dia merasakan perubahan pada Allahyarham ketika mereka keluar hampir seharian kelmarin.

"Kami keluar jam 9 pagi beli 10kg daging lembu untuk majlis berbuka puasa di Pondok Ustaz Awang.

"Kemudian kami ke Alor Setar untuk tengok kereta. Dalam perjalanan pulang ke kampung, Ustaz Din banyak kongsi kisah berkaitan kematian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Pengerusi Lembaga Tadbir Sekolah Rendah Islam Raudhatul Muslimin ( SRIRM) itu juga berkongsi kisah menjaga guru pondok selama 10 hari ketika masih bujang.

Dalam pada itu, ADUN Kuala Ketil, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, sahabat baiknya itu amat komited menguruskan pentadbiran perkampungan dan SRIRM yang terletak di kampung berkenaan.

"Allahyarham antara yang sentiasa berusaha mencari dana untuk siapkan masjid di Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin hingga masyarakat dapat solat berjemaah.

"Allahyarham juga turut berusaha mendapatkan jalan berturap yang sempurna untuk kampung serta menyelia setiap kebajikan anak kariah," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Mansor berkata, Allahyarham banyak berdakwah kepada anak muda dan warga emas melalui kuliah dan program di masjid.

"Di kariah Kampung Tembak dan DUN Kuala Ketil, Allahyarham mendampingi masyarakat dengan menyampaikan kuliah di masjid, surau dan teratak ilmu," katanya

Katanya, Allahyarham juga banyak membantu melancarkan tugas beliau sebagai seorang ADUN.

"Setelah dipilih sebagai wakil rakyat, Allahyarham banyak membantu saya mendapatkan bantuan dan sumbangan untuk diagihkan kepada anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin," katanya.

Beliau berkata, Allahyarham yang juga guru panitia Pendidikan Islam di SK Sri Jemerli mempunyai rekod cemerlang dan disenangi rakan-rakan setugas.

"Saya juga dimaklumkan oleh guru-guru SK Sri Jemerli bahawa Allahyarham seorang guru agama yang sangat hebat dan banyak berjasa kepada sekolah.

"Antaranya Allahyarham bertungkus-lumus mencari dana bagi pembinaan surau SK Jemerli. Hasil jasanya surau itu kini telah dibina," katanya.

Tambahnya, banyak usaha ditinggalkan Allahyarham terutamanya dalam urusan pentadbiran SRIRM dan kampung perlu diteruskan.

"Saya harap usaha-usaha dilakukan Allahyarham sepanjang hayatnya akan diteruskan penduduk kampung.

"Kehilangannya amat dirasai dan kita masih teringat dengan gurau sendanya dalam program Alumni Warga Pondok Lanai sehari sebelum Allahyarham meninggal dunia," katanya.

Allahyarham Ustaz Din Kembal dikebumikan di tanah perkuburan Islam Perkampungan Islam Raudhatul Muslimin selepas solat Zohor semalam.