Jawatankuasa khas ditubuh berkaitan kelulusan tanah Sarawak

Salahuddin Ayub
Salahuddin Ayub
A
A
A

KUCHING - Satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan untuk membincang dan menyelaraskan perkara berkaitan tanah yang diluluskan oleh kerajaan Sarawak kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas untuk diusahakan.

Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata jawatankuasa khas kementerian itu ditubuhkan bersama Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak setelah kerajaan negeri meluluskan 2,000 hektar bagi fasa satu di Lingga, Sri Aman untuk dibangun oleh kerajaan pusat.

"Saya difahamkan tadi secara rasmi pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin telah berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan telah menulis surat kepada Ketua Menteri untuk memohon sejumlah tanah untuk ditanam dengan pelbagai tanaman.

"Kerajaan Sarawak bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak kerana ini adalah usahanya untuk memperkenalkan ‘cash crop’ untuk menggantikan sawit,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di sini hari ini.

Salahuddin mengulas kenyataan beliau di Johor Bahru semalam bahawa kerajaan Sarawak akan menyerahkan 600,000 hektar yang tidak akan ditanam semula dengan kelapa sawit kepada kerajaan pusat adalah tidak benar.

Antaranya, jawatankuasa khas berkenaan akan memutuskan jenis tanaman dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan menentukan kesesuaian tanah untuk dimanfaatkan dalam tempoh yang terdekat, katanya.

Kemudian ketika melawat Bazar Ramadan Medan Niaga Satok di sini, beliau berkata kementeriannya memberi peluang kepada para peniaga untuk berniaga dan memasarkan produk-produk agromakanan yang dihasilkan petani dari seluruh negeri khususnya di Sarawak.

“Pasar-pasar seperti ini dapat dipertingkatkan dan ditambah baik pada masa akan datang dan inilah peluang bagi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk terus mendidik dan menjadikan premis-premis ini sebagai batu loncatan bagi peniaga supaya terus maju ke hadapan,” katanya kepada pemberita.

Artikel Berkaitan:

Salahuddin turut beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung di bazar Ramadan tersebut serta mengagihkan Bubur Pedas kepada mereka sebagai juadah berbuka puasa. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!