Bersatu, PH Perak junjung ketegasan Sultan Nazrin

Ahmad Faizal Azumu
Ahmad Faizal Azumu
A
A
A

IPOH - Bersatu dan PH Perak menjunjung ketegasan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berhubung tiga program di masjid di negeri ini yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah tidak bertauliah.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, titah berkenaan adalah bertepatan dengan pendirian Bersatu dan PH sendiri yang menolak sebarang perbuatan menyalahgunakan rumah-rumah ibadah khususnya masjid dan surau untuk menganjurkan program berunsur politik kepartian.

“Bersatu dan PH menjunjung penuh titah tuanku bahawa sebarang perbuatan menyalahgunakan masjid dan surau sebagai pentas politik kepartian perlu disiasat bagi mengekang kejadian ini daripada berulang.

“Ini adalah penting bagi memelihara kemaslahatan ummah di negeri Perak, apatah lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini serta bulan Syawal yang bakal menjelang,” katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Ahmad Faizal berkata, selaku Menteri Besar, beliau sama sekali tidak bersetuju dengan politik perpecahan yang dibawa oleh parti-parti tententu apatah lagi jika ia berisiko menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

“Dalam perkara ini, PH konsisten menolak politik kepartian sempit serta menggunakan sensitiviti agama dan kaum untuk meraih sokongan,” katanya.

Sabtu lalu, enam pemimpin parti politik utama di Perak iaitu Ahmad Faizal; Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi; Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak; Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham; Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dipanggil mengadap baginda.

Dalam sesi tersebut, baginda selaku Ketua Agama Islam negeri menegaskan pendirian tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dibuat dalam kawasan masjid atau surau di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Ia susulan baginda menerima banyak aduan mengenai program yang dianjurkan atas nama parti politik dan terdapat pemimpin parti politik yang berceramah tanpa tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) di dalam masjid.