SPRM siasat bekas ahli politik bergelar Datuk Seri

Shaharom Nizam (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada seorang penerima di Kampung Limbong Kapal, di sini tadi.
Shaharom Nizam (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada seorang penerima di Kampung Limbong Kapal, di sini tadi.
A
A
A

ALOR SETAR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah sedang menjalankan siasatan ke atas seorang bekas ahli politik bergelar Datuk Seri berhubung penyelewengan dana sebuah persatuan di negeri ini.

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap berkata, Datuk Seri berusia lingkungan 60-an yang memegang jawatan penting dalam persatuan disyaki terbabit dalam penyelewengan dana mencecah jutaan ringgit.

Menurut Shaharom Nizam, pihaknya menerima maklumat berkaitan penyelewengan dana persatuan berkenaan dan kini dalam proses melakukan siasatan lagi berhubung kes itu.

"Setakat ini, kita juga telah memanggil beberapa kakitangan dalam persatuan terbabit bagi tujuan soal siasat berhubung isu penyelewangan dana tersebut.

"Kita belum memanggil Datuk Seri tersebut dan jikalau perlu kita akan memanggil beliau untuk membantu siasatan berkenaan," katanya pada Program Ziarah Ramadan di sekitar Alor Setar, di sini tadi.

Katanya, sehingga kini, pihaknya telah membuka 50 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan di negeri ini sejak Januari lepas melibatkan penahanan 79 individu dan 12 pertuduhan di mahkamah.

Beliau berkata, pihaknya akan berusaha mempercepatkan siasatan demi membolehkan kes dibawa ke mahkamah, walaupun masih ada banyak kes dalam kajian.

Menurutnya, pihaknya kini sedang melakukan siasatan berkaitan kes tuntutan palsu bernilai jutaan ringgit melibatkan pihak pengurusan tertinggi sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Shaharom Nizam enggan mengulas lanjut berkaitan perkara itu.

Terdahulu, beliau bersama lebih 10 pegawai dan anggota SPRM menyerahkan sumbangan kepada 10 keluarga kurang berkemampuan melalui Pogram Ziarah Ramadan itu.

Beliau berkata, pihaknya ingin berkongsikan kegembiraan meraikan Hari Raya Aidilfitri, sekali gus membantu keluarga memerlukan itu melalui sumbangan diberikan.