Suami, isteri direman kes dera budak sampai mati

Pasangan suami isteri tersebut tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Yan pagi tadi. (Gambar kecil: Shahnaz)
Pasangan suami isteri tersebut tiba di pekarangan Mahkamah Majistret Yan pagi tadi. (Gambar kecil: Shahnaz)
A
A
A

YAN - Sepasang suami isteri direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes seorang kanak-kanak lelaki dua tahun yang meninggal dunia pada 25 Mei lepas, disyaki akibat didera bapa tirinya di Jalan Yan, Guar Chempedak dekat sini.

Perintah reman itu dikeluarkan di Mahkamah Majistret Yan oleh Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lelaki berusia 28 tahun dan wanita berumur 22 tahun itu juga didapati positif dadah ketika tangkapan dibuat ke atas mereka.

“Suspek lelaki tersebut juga mempunyai rekod lampau berkaitan melupuskan barang kes dan dadah iaitu masing-masing mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39A(1) ADB (Akta Dadah Berbahaya),” katanya.

Dalam pada itu, bapa saudara kepada suspek lelaki yang tinggal di rumah bersebelahan berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan kanak-kanak terbabit telah meninggal dunia.

"Saya tak sangka mangsa didera kerana masa saya nampak kanak-kanak tu kira-kira tiga hari sebelum kejadian, dia macam sihat," katanya.

Tambahnya, dia juga tidak mendengar bunyi pelik selain tangisan biasa kanak-kanak dari rumah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mereka jarang bergaul dan banyak berada di dalam rumah dan sangat jarang bertegur sapa.

"Saya dan isteri selalu nampak beberapa individu tak dikenali sering keluar masuk dari rumah berkenaan.

"Kami pun tak ambil pusing sangat dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk menyiasat," katanya.

Semalam media melaporkan mangsa, Muhammad Aqil Hairi Mohd Azrul maut selepas mengalami kecederaan dalaman dipercayai akibat dipukul dengan objek tumpul.

Shahnaz dipetik sebagai berkata dalam kejadian jam 7.30 malam itu mangsa ditemui terbaring dalam keadaan tidak sedarkan diri di lantai rumah di Jalan Yan, Guar Chempedak sebelum bapa tirinya membawa Muhammad Aqil ke hospital dan doktor mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia.