Pasar umum Lahad Datu akan dinaik taraf

Gambar hiasan
A
A

LAHAD DATU - Pasar Umum Lahad Datu bakal dinaik taraf sekali gus menangani masalah kebersihan di pasar berkenaan, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Jaujan Sambakong.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah itu berkata kementerian akan membincangkan mengenai peruntukan bagi menaiktaraf pasar itu dalam tempoh terdekat.

"Ini supaya keadaan pasar lebih kondusif bukan hanya untuk peniaga tetapi juga masyarakat selaku pembeli barang di pasar," katanya pada majlis Iftar Ramadan anjuran Kastam Diraja Malaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Jaujan berkata perbincangan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) daerah itu akan diadakan berhubung aduan orang awam berkaitan pasar umum berkenaan untuk tindakan susulan.

"Saya lihat (pasar) tidak bersih kerana tiada penyelenggaraan, walaupun bangunan pasar ini masih dalam keadaan baik, jadi kita harap PBT mengambil perhatian isu kebersihan kerana pasar ini sangat penting bagi kehidupan harian kita," katanya. - Bernama