X

Kindly register in order to view this article
!

Telur rebus kicap di Jogja, nasi minyak di KL

Mazlina
A
A

AURA Rumah ALLAH pada bulan Ramadan sangat luar biasa. Suara alunan al-Quran bergema tidak berhenti. Daripada budak kecil, anak muda, warga tua, mualaf hingga kepada warga asing bersatu dengan satu misi penting. Masing-masing seboleh-bolehnya mahu menggenggam infiniti pahala. Bahasa tubuh setiap jemaah memberi refleksi bahawa mereka ialah pemburu syurga.

Di Rumah ALLAH, sarat dengan pelbagai cerita dan suasana. Kelazimannya, saya terhibur mendengar suara riuh kanak-kanak memecah keheningan masjid. Ada yang menempelak. Bising. Alah, usahlah dimarahi budak-budak itu. Lama-kelamaan, mereka akan mengerti masjid itu untuk apa.

Sekali-sekala saya mendengar pelajar tahfiz yang sedang mengaji melabuhkan kehibaan mereka dengan tangisan kecil. Barangkali, maksud di sebalik kalimah al-Quran begitu menusuk kalbu. Dataran hati saya bergetar melihat perlakuan indah itu.

Di Rumah ALLAH juga, darjat seseorang tidak dinilai. ‘Filosofi’ itu nampaknya difahami. Saya melihat beberapa tokoh terkenal hadir tanpa protokol.

Seperti kelaziman, pada bulan Ramadan, masjid bertalu arus menerima tajaan makanan daripada para dermawan dan syarikat korporat. Menunya memang lazat seperti kari ayam, ikan masak lemak, nasi tomato dan nasi minyak. Pakej dilengkapkan lagi dengan kuih-muih dan air.

Ketika berada di sebuah masjid di Kuala Lumpur, saya bersembang dengan seorang wanita dari Cheras. Katanya, beliau dan tiga anaknya akan menaiki LRT setiap hari untuk berbuka puasa di masjid. Wanita itu sambil memegang sebungkus nasi tomato berkata, pada bulan Ramadanlah mereka anak-beranak boleh makan sedap. Tangkai tas yang hampir putus dan selipar bersaiz besar daripada kaki yang dipakai dua anaknya membuatkan saya mengerti mengapa kata-kata itu lahir daripada mulutnya.

Melihat hidangan hebat-hebat disajikan itu, memori saya terimbau yang kenangan berpuasa di Jogjakarta, Indonesia. Saya memberitahu rakan baik saya (anak jati Jogja) hasrat mahu bertarawih di beberapa masjid di sana.Impian itu ditunaikan dengan membawa saya ke sebuah masjid yang sudah berusia lebih 100 tahun.

Sebelum itu, saya dibawa ke satu lorong (seperti bazar Ramadan) untuk membeli juadah. Saya pelik, rakan saya tidak membeli apa-pun. Tidaklah saya bertanya kenapa? Saya? Berjenis-jenis kuih dibeli.

Alunan

Pada jam 5 petang, masjid itu sudah dipenuhi ramai jemaah. Saya tidak mendengar suara hingar-bingar orang atau kanak-kanak bercakap. Sebaliknya, hanyalah alunan kalam suci kedengaran melalui pembesar suara. Ramai juga khusyuk membaca al-Quran.

Petugas-petugas masjid pula bertungkus-lumus memasak lauk dan nasi. Setengah jam sebelum azan bergema, semua beratur mendapatkan makanan. Tiada ‘adegan’ meminta ekstra lauk atau nasi.

Disebabkan itulah kali pertama saya berbuka puasa di bumi asing, saya teruja. Namun, sebaik saya membuka kotak makanan, isinya cuma nasi putih dan telur rebus masak kicap. Semua orang bersungguh-sungguh menikmatinya kecuali saya yang terpinga-pinga. Tidak mahu dianggap memilih, saya ‘gagahkan’ diri untuk makan. Tekak saya tidak boleh menerimanya lalu saya capai makanan yang dibeli tadi. Sebelum itu, saya menoleh ke kiri dan ke kanan. Nampaknya, seperti tiada seorang pun yang membawa makanan lain kecuali saya. Seperti ada yang tidak kena, saya ikat kembali plastik kuih dan terus menghabiskan makanan masjid.

Selepas bertarawih, rakan saya membawa saya ke sebuah kedai kopi hipster. Saya sudah tidak lalu makan. Di benak saya terlalu banyak soalan yang mahu diajukan kepadanya.

Tidak sempat saya membuka mulut, rakan saya yang kini ibu kepada dua zuriat berkata: “Lynn, yang pertama, masjid itu sebuah masjid sederhana. Biaya kewangan hasil keikhlasan hati manusia. Berapa yang diperoleh, itulah yang diberi (makan) kepada jemaah.

“Kalau kamu tertanya kenapa aku tidak membeli makanan di lorong itu kerana aku akan membawa kamu ke masjid. Di masjid itu, kami makan apa sahaja yang dihidangkan. Kalau kami bawa makanan lain, jemaah lain yang fakir akan memandang. Jadi, untuk tidak mengecilkan hati mereka, kita makan sama-sama apa yang tersedia.

Oh, garisan pemikiran saya tidak memikirkan sampai ke tahap itu. Saya terdiam. Perasaan saya dijajah dengan emosi hiba yang berlebihan. Saya kembali ke Kuala Lumpur dengan satu renungan perspektif yang berbeza.

Saya kembali beriftar di masjid di Kuala Lumpur. Ternyata, limpahan rezeki di mana-mana masjid di Malaysia cukup murah. Kebetulan, pihak masjid mengagihkan telur rebus. Namun, telur rebus itu dimakan bersama nasi minyak dan kurma paha ayam.

Peristiwa kecil di sebuah masjid di Jogja itu memberi definisi yang sangat mendalam. Di Malaysia cukup bertuah. Justeru, kita wajib belajar bersyukur dan berterima kasih kepada ALLAH SWT di atas limpah dan kurnia-Nya.

Saya tidak perlukan pengalaman lain kerana setiap kali Ramadan, kenangan di sana menyedarkan bahawa hidup ini perlukan kesederhanaan.

Semoga pada bulan mulia, kita sama-sama menyebarkan kebaikan, bukan propaganda. Cuci hati daripada terus berprasangka buruk. Semoga ALLAH SWT terus menyayangi kita. Amin.

Mazlina Abdul Majid ialah Pengarang Rencana Sinar Harian


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus