Ahli Majlis MBIP buat bantahan dakwaan salah guna kuasa

Ahli majlis yang membuat bantahan berhubung isu salah guna kuasa datuk bandarnya yang dipercayai mengubah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan di MBIP. (Gambar kecil: Azam Mektar)
Ahli majlis yang membuat bantahan berhubung isu salah guna kuasa datuk bandarnya yang dipercayai mengubah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan di MBIP. (Gambar kecil: Azam Mektar)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli-Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) membuat bantahan berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan datuk bandarnya, hari ini.

Bantahan itu susulan dakwaan datuk bandar yang dipercayai mengubah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan membabitkan pembukaan bazar Ramadan.

Ahli Majlis Zon 9 Gelang Patah, Mohd Azam Mektar berkata, datuk bandar didakwa mengubah keputusan berkaitan kebenaran membuka bazar Ramadan di lokasi yang tidak mendapat kelulusan.

Menurutnya, selain itu, bantahan juga melibatkan soal kelulusan jumlah lesen berniaga sepanjang bulan Ramadan.

"Pada awalnya, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan Bil 4/2019 pada 18 April lalu dipengerusikan sendiri oleh beliau sudah bersetuju memberikan kelulusan terhadap 100 petak niaga bazar Ramadan di kawasan parkir Jalan Nusaria 4/7 Taman Nusantara, Gelang Patah.

"Kawasan ini diberi sebagai ganti kepada cadangan penganjuran bazar Ramadan di Jalan J/1 Taman Nusantara yang diminta peniaga pada mulanya, namun mendapat bantahan peniaga kedai berhampiran.

"Disebabkan itu, persetujuan membenarkan bazar Ramadan di Jalan Nusaria 4/7, Taman Nusantara kemudiannya disahkan pada 28 April lalu," katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Penuh MBIP, di sini hari ini.

Mohd Azam berkata, bagaimanapun Jabatan Pelesanan MBIP didakwa bertindak menolak permohonan awal 47 peniaga di bawah persatuan penganjur untuk mendapatkan lesen membuka bazar Ramadan di kawasan dipersetujui.

Artikel Berkaitan:

Katanya, penolakan itu didakwa kerana datuk bandar ingin mengubah hak penganjuran bazar Ramadan tersebut.

"Akhirnya, ahli majlis zon berkenaan mengambil inisiatif melakukan perbincangan dengan pihak datuk bandar yang kemudiannya bersetuju untuk memberikan 30 lesen berniaga di Jalan Nusaria 4/7 Taman Nusantara walaupun keputusan awal dalam mesyuarat terdahulu bersetuju memberikan 100 lesen berniaga," katanya.

Beliau berkata, penganjur bazar Ramadan seterusnya hanya dimaklumkan secara rasmi mengenai kelulusan berniaga pada 5 Mei lalu, selain tindakan melewatkan pemakluman keputusan mengakibatkan kesukaran peniaga membuat persediaan.

"Ahli Majlis MBIP mendapat aduan daripada orang ramai kira-kira dua tiga hari di awal Ramadan bahawa terdapat bazar Ramadan dibuka tanpa permit dan lesen di Jalan J/1 Taman Nusantara.

"Tindakan datuk bandar yang berdolak dalik dan mengubah keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Pelesenan dianggap sebagai salah guna kuasa dan sabotaj terhadap Ahli Majlis serta kerajaan negeri pimpinan PH secara keseluruhannya," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar MBIP, Datuk Adib Azhari Daud berkata, pihaknya memberikan tempoh seminggu kepada semua Whip Parti untuk tampil memberi penjelasan berhubung isu bantahan berkenaan.

"Dalam tempoh itu juga, semua enam atau tujuh jawatankuasa MBIP perlu disemak semula pindaan atau sebarang keputusan yang dibuat oleh ketua jabatan berkaitan, bagi meneliti dan menilai semula perkara atau tindakan mana yang tidak dipatuhi.

"Hasil perbincangan kemudiannya akan dibawa kepada YB Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon serta juga kerajaan negeri," katanya.