Ops Ronda kesan pemandu lori balak bermasalah

Kakitangan JPNP sedang melakukan pemeriksaan terhadap sebuah lori balak.
A
A

KUANTAN - Maklumat tidak lengkap dan tidak tepat yang tercatat pada pas memindah kayu balak boleh menyebabkan pengurangan cukai hasil hutan dan mengundang pelbagai masalah.

Kesalahan tersebut antara yang dikesan sepanjang 'Ops Ronda' yang digerakkan Jabatan Perhutanan Negeri (JPNP) dengan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membabitkan aktiviti sekatan jalan raya dibeberapa laluan utama negeri dan persekutuan.

Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, maklumat tidak lengkap selain ukuran kayu balak yang tidak sama tercatat pada pas memindah antara enam kesalahan dikesan sepanjang operasi di lapan daerah negeri.

Menurutnya, kesalahan tersebut dipandang serius dan amaran keras dikeluarkan kepada pemandu lori supaya tidak terus mengulangi kesilapan dilakukan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

"Antara kesalahan dikesan ialah salah spesies balak, jumlah kayu atas lori tidak sama yang tercatat pada pas memindah dan maklumat lesen kawasan pembalakan pada lori tidak tepat.

"Operasi yang membabitkan 13 anggota Unit Penguat kuasa Timur JPNP dan JPJ menahan dan membuat pemeriksaan terhadap 83 lori balak bagi mengesan apa juga kesalahan yang dilakukan.

"Rondaan juga membabitkan jarak sejauh 1,107 kilometer (km) termasuk laluan sempadan Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu yang menjadi pintu keluar hasil hutan terutama balak," katanya.

Beliau berkata, Ramadan tidak menghalang anggota penguat kuasa JPNP melakukan tugas mengesan dan menumpaskan apa juga aktiviti yang menyalahi undang-undang di kawasan hutan dan di jalan raya.

"Rekod sebelum ini mendapati kegiatan menceroboh hutan simpan dan membawa keluar balak tanpa lesen kerap berlaku ketika Ramadan.

"Kegiatan memindah balak tanpa permit atau kayu curi kebiasaan dilakukan pada waktu malam hingga pagi membabitkan beberapa laluan panas di setiap daerah negeri ini," katanya.

Mohd Hizamri turut meminta orang awam memberikan kerjasama dalam melaporkan sebarang kegiatan haram.

"Masyarakat yang mengetahui kegiatan menceroboh hutan simpan dan memindahkan balak tanpa lesen perlu menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.

"Tindakan mengesan seterusnya menahan pihak berkaitan akan dilakukan di bawah undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.