54 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah

A
A

KOTA KINABALU - Polis menahan 54 individu atas pelbagai kesalahan melibatkan penyalahgunaan dadah dalam operasi di sekitar bandar raya ini termasuk Likas, Inanam dan Tanjung Aru dalam tempoh seminggu bermula 18 Mei hingga Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kesemua suspek ditahan berumur 14 hingga 64 tahun itu turut melibatkan 16 warga asing, dan mereka ditahan dalam operasi dijalankan di Kampung Cenderamata Dua di Likas; Lorong Keleto di Inanam; dan Kampung Tanjung Aru.

Katanya, seorang individu ditahan atas kesalahan membekal dan pengedaran dadah, manakala sembilan individu ditangkap atas kesalahan memiliki dadah, dan 44 individu lain ditahan didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan.

“Sepanjang operasi itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 9.25 gram dianggarkan bernilai RM1,387.50,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Polis Kota Kinabalu akan terus memperhebatkan usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penagihan dadah di bandar raya ini dan kawasan sekitarnya bagi memelihara kesejahteraan masyarakat setempat, katanya. -Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia