Cabaran debat strategi terdesak Najib, kata pemimpin Bersatu

No Image Caption
A
A
A

BATU KAWAN - Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya menyifatkan cabaran debat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak kepada pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang hanya untuk menarik sokongan orang ramai terhadap bekas perdana menteri itu.

Marzuki, yang juga Pengerusi Bersatu Pulau Pinang, berkata Najib tidak perlu mencari publisiti dengan mencabar pemimpin Pakatan Harapan (PH) untuk berdebat, sebaliknya beliau perlu menumpukan perhatian terhadap pertuduhan kes rasuah ke atasnya yang sedang dibicarakan di mahkamah.

"Wajarlah untuk beliau (Lim Kit Siang) menolak untuk berdebat dengan 'boss ku' ini. Adalah lebih baik untuk kita mendengar Najib berhujah di mahkamah kerana beliau telah (dituduh) dengan skandal rasuah serta penggubahan wang haram terbesar di Malaysia.

"Jadi, tidak perlu untuk beliau mencari publisiti dengan mengadakan debat. Tambahan pula sekarang ini bulan puasa, adalah kurang sesuai untuk beliau mengadakan debat sebegini semata-mata untuk meraih sokongan daripada rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa dan penyampaian sumbangan kepada asnaf bersama Zakat Pulau Pinang, di sini malam ini.

Kelmarin, Kit Siang mengumumkan untuk menarik diri daripada berdebat dengan Najib atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum.

Marzuki turut mengingatkan orang ramai terutamanya masyarakat Islam supaya lebih berhati-hati dalam menerima informasi agar tidak terpedaya dengan propaganda pihak tidak bertanggungjawab khususnya pihak-pihak yang cuba untuk memecah-belahkan perpaduan kaum di negara ini.

Terdahulu, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar, menyampaikan bantuan kepada 100 orang asnaf di Surau At-Tahalli dengan kerjasama barisan kariah Bandar Cassia.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mengumumkan pembinaan sebuah masjid di Bandar Cassia, di sini yang akan menelan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Menurutnya, kerja-kerja pembinaan akan bermula pada awal tahun depan dan dijangka siap sepenuhnya selepas 18 bulan. -Bernama