Selangor ke arah “Global Halal Hub”

Datuk Hasan Azhari Idris
Datuk Hasan Azhari Idris
A
A
A
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Invest Selangor Berhad selaku agensi sehenti pelaburan negeri dan juga sekretariat bagi Majlis Halal Negeri Selangor, diberi tanggungjawab bersama pihak Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk merangka serta menjalankan kajian pelan tindakan industri halal Negeri Selangor 2018-2028.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Datuk Hasan Azhari Idris berkata, Selangor Halal Action Plan itu adalah pelan tindakan khusus industri Halal Negeri Selangor bagi tempoh 10 tahun.

Menurutnya, ia merupakan satu kajian khusus dan juga pelan perancangan yang komprehensif serta merupakan garis panduan dalam menentukan hala tuju pembangunan untuk menjadikan Selangor sebagai pilihan utama bagi perdagangan halal di rantau ini mahupun di peringkat global.

Selain itu katanya, ianya turut akan menjadi asas dalam merealisasikan Selangor sebagai “Global Halal Hub”.

"Industri Halal adalah sebuah industri yang berpotensi dan berkembang dengan sangat pantas. Sepertimana kita semua

sedia maklum, pada hari ini Malaysia adalah antara juara di peringkat dunia di dalam industri halal ini.

"Produk dan perkhidmatan halal bukan saja menjadi satu permintaan atau keperluan bagi pengguna beragama Islam. Tetapi turut diterima negara bukan Islam seperti Brazil, Jepun, Thailand, Korea Selatan, Australia dan China," katanya yang berucap dalam sesi Town Hall bagi Kajian Pelan Tindakan Khusus Industri Halal Negeri Selangor: “Selangor Halal Action Plan” 2018-2028, Selasa lalu.

Menurut Hasan Azhari, produk dan perkhidmatan halal bukan sahaja menjanjikan kesucian, namun paling penting ianya

turut menekankan aspek kebersihan (hygiene) dan juga kualiti serta sekuriti dan integriti.
Artikel Berkaitan:


Katanya, potensi industri halal semakin meningkat dan merupakan industri yang amat penting serta relevan bagi Malaysia dan rantau sekitarnya termasuk negara-negara Asean.

"Ini kerana, populasi penduduk Islam Dunia pada ketika ini adalah sekitar 1.8 bilion dan angka ini dijangka akan terus bertambah sehingga 2.2 bilion pada tahun 2030.

"Populasi penduduk Islam ini meliputi 28 peratus daripada jumlah penduduk dunia. Berdasarkan kepada angka ini, permintaan terhadap produk dan perkhidmatan halal adalah tinggi sehingga boleh mencecah USD680 bilion setahun," katanya.

Justeru itu katanya, peluang dan potensi untuk pertumbuhan industri halal sangat besar dan tidak terikat kepada industri pemakanan dan minuman semata-mata tetapi merangkumi pelbagai produk serta perkhidmatan lain yang

boleh ditawarkan termasuklah penjagaan kesihatan dan farmaseutikal, penjagaan diri dan kosmetik (Modest fashion), logistik, pelancongan serta perkhidmatan kewangan.

Beliau berkata, seiring dengan Revolusi Perindustrian Ke-4 (Industri 4.0), industri halal khususnya syarikat tempatan perlulah menyesuaikan diri untuk terus kekal berdaya saing bukan hanya di peringkat domestik, malah di peringkat global.

"Perkembangan industri halal di Malaysia pada hari ini, secara keseluruhannya turut disokong oleh perkembangan industri kewangan Islam.

"Pihak Invest Selangor Berhad telah pun mengadakan perbincangan bersama pihak AIBIM (Association of Islamic Banking

Institutions Malaysia) dan sedang meneroka potensi kerjasama bagi membantu dan memastikan pihak SME mendapat manfaat serta menjadi pemudah cara kepada bantuan dan sokongan kewangan.

"Saya harap semua pihak bukan sahaja yang terlibat dalam industri tetapi pertubuhan-pertubuhan lain seperti

koperasi, NGO, dewan perniagaan dan media dapat membantu untuk

menghebahkan potensi industri halal," katanya.

INFO:

* Sebanyak 2,063 syarikat telah mendapat pensijilan halal di Negeri Selangor.

* Dijangka meningkat kepada 2,475 (peningkatan 15-20%) pada tahun berikutnya.

* Bakal memperkasakan Halal International Selangor (HIS) untuk lahirkan Halal Eksekutif dan Halal Auditor bertauliah.

* Membantu syarikat SME mendapatkan ISO, HACP dan juga GMP.

* Terlibat secara langsung dalam program Modest Fashion.

* Berhasrat menganjurkan program Selangor Fashion Week 2019.