Mahkamah tolak permohonan pemaju hidro elektrik mini

Vinu (kanan) menyampaikan keputusan mahkamah kepada sebahagian penduduk Orang Asli Ulu Geruntum yang hadir pada prosiding yang dijalankan di Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini.
A
A

IPOH - Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan dua pemaju projek hidro elektrik mini untuk membantah tuntutan saman daripada penduduk Orang Asli Ulu Geruntum, Gopeng.

Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis memutuskan demikian selepas mendapati permohonan untuk membatalkan saman itu merupakan satu tindakan terlalu drastik.

“Perkara itu mesti diperdengarkan terlebih dahulu sebelum perintah itu dikeluarkan,” katanya.

Beliau turut menetapkan kos sejumlah RM1,000 kepada Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd dan Conso Hydro R E Sdn Bhd yang bertindak sebagai defendan pertama dan kedua selain menetapkan pendengaran selama tiga hari bermula 24 Jun ini.

Defendan diwakili Mohd Fitri Asmuni manakala plaintif diwakili oleh K Vinu, Conrad Lopez dan Lee Yoong-Uei.

Sementara itu, wakil plaintif, Wah Ngah Pili, 57, berkata pihaknya berasa gembira dengan keputusan mahkamah membatalkan permohonan pemaju itu.

"Ini baru langkah pertama kemenangan untuk kami dan kami akan terus memperjuangkan hak sebagai penduduk," katanya.

April tahun lalu, seramai 35 penduduk Orang Asli memfailkan saman terhadap enam defendan termasuk Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli serta Pengarah Tanah dan Galian Perak atas pembinaan hidro elektrik mini di atas tanah berkenaan.

Projek tersebut melibatkan penduduk suku Semai dari Kampung Sungai Kapor, Kampung Sat, Kampung Ulu Kepayang, Kampung Empang Utama, Kampung Poh dan Kampung Ulu Geruntum.

Berdasarkan saman itu, dua syarikat swasta telah memulakan projek di Sungai Geruntum pada 2012.

Antara deklarasi dan injuksi yang dituntut termasuk pengisytiharan penduduk sebagai pemilik sah tanah serta memohon mahkamah untuk memerintahkan syarikat swasta terlibat mengosongkan tanah dan memberi ganti rugi kepada plaintif bagi pencerobohan itu.

Projek yang dicadang kerajaan Perak pada 2012 melalui Perak Hydro Renewable Energy Corporation Sdn Bhd itu dibangunkan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber mineral seperti arang batu untuk tujuan penjanaan tenaga elektrik.

Konflik itu timbul selepas mengambil kira kesan projek terhadap alam sekitar, kemusnahan tanaman yang menjadi sumber pendapatan penduduk juga kerosakan tanah perkuburan nenek moyang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia