Lelaki Nigeria pindah-randah elak kegiatan edar dadah terbongkar

Ismadi (tengah) menunjukkan tangkapan seorang lelaki Nigeria serta rampasan dadah susulan operasi di Bandar Kinrara, Puchong, awal pagi tadi.
Ismadi (tengah) menunjukkan tangkapan seorang lelaki Nigeria serta rampasan dadah susulan operasi di Bandar Kinrara, Puchong, awal pagi tadi.
A
A
A

SERDANG - Tindakan lelaki Nigeria sering berpindah tempat tinggal untuk mengelak kegiatan pengedaran dadah dikesan akhirnya terbongkar apabila diberkas di sebuah kondominium di Bandar Kinrara, Puchong, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan ketika memandu kereta jenis Honda City dipercayai ketika dalam perjalanan hendak mengedar dadah di sekitar Lembah Klang.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menjumpai dadah jenis syabu seberat 791.48 gram dan 1,420 pil ekstasi yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM90,000 yang disorokkan di bawah tempat duduk pemandu.

"Polis kemudian bertindak menyita kereta Honda City tersebut yang dipercayai digunakan untuk tujuan pengedaran dadah.

Kenderaan Honda City yang digunakan lelaki Nigeria terbabit untuk kegiatan pengedaran dadah berjaya dikesan dalam serbuan di Bandar Kinrara, Puchong, awal pagi tadi.
Kenderaan Honda City yang digunakan lelaki Nigeria terbabit untuk kegiatan pengedaran dadah berjaya dikesan dalam serbuan di Bandar Kinrara, Puchong, awal pagi tadi.

"Semakan mendapati kereta tersebut disewa suspek sejak lima bulan lalu dengan bayaran RM3,000 sebulan," katanya pada sidang akhbar, di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismadi mendedahkan, suspek ini dipercayai telah berada di Malaysia sejak lapan tahun lalu dan masuk dengan menggunakan visa pelajar.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pihaknya percaya suspek ini telah aktif kira-kira lima bulan lalu. Malah, suspek ini juga dikesan kerap berpindah tempat tinggal dengan menginap di hotel serta kondominium bagi menyukarkan kegiatannya mudah dikesan pihak polis.

"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti punca bekalan dadah itu diperoleh," katanya.

Tambahnya, suspek kini direman tujuh hari sehingga 30 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.