Syarikat penerbangan diminta tambah perkhidmatan sempena Aidilfitri

Anthony Loke Siew Fook
Anthony Loke Siew Fook
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pengangkutan meminta syarikat-syarikat penerbangan menambah bilangan penerbangan domestik khususnya pada musim perayaan ini, bagi membolehkan penumpang membuat pilihan harga.

Menterinya Anthony Loke Siew Fook berkata apabila tawaran tiket penerbangan itu lebih banyak maka harga purata sesebuah penerbangan juga akan sedikit menurun.

"Harga yang sangat tinggi ini biasanya berlaku jika tinggal beberapa tempat (kerusi) dalam setiap penerbangan. Bukan setiap tempat duduk dalam penerbangan akan dapat harga yang tinggi.

"Ia (harga tiket) meningkat apabila ada permintaan lebih tinggi dan tinggal beberapa kerusi sahaja (dalam satu penerbangan), jadi ia (harga) akan meningkat," katanya ketika diminta mengulas dakwaan berhubung harga tiket penerbangan domestik yang tinggi menjelang Aidilfitri awal Jun ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Ekspres Musafir di Terminal Bas Bersepadu, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) Azlan Shah Parames Albakri dan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Dr Siti Zaharah Ishak.

Mengenai saranan harga siling untuk tiket penerbangan, Anthony berkata jika kerajaan melaksanakan kadar harga siling pada musim perayaan, ia akan memberi kesan kepada harga purata di hari biasa.

"Saya tahu ada pelbagai saranan untuk kami letakkan harga siling. Kami dah bincang perkara ini dan saya sudah nyatakan berkali-kali kepada media di mana kalau kami mengambil langkah itu, syarikat penerbangan ini akan menaikkan harga mereka pada hari biasa," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata pihaknya masih menunggu laporan audit lengkap daripada MIROS, APAD dan polis mengenai kemalangan melibatkan sebuah bas henti-henti Mybas, dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV), Nissan X-Trail di Jalan Pantai-Bukit Tangga, Jelebu, semalam.

Kemalangan pada pukul 3.45 petang itu menyebabkan seorang pelajar maut manakala 37 lagi cedera termasuk empat dirawat di zon merah.- Bernama