Lim Kit Siang tarik diri debat kleptokrasi dengan Najib

A
A

KUALA LUMPUR – Debat kleptokrasi yang dijangka akan berlangsung selepas Aidilfitri ini dibatalkan apabila Veteran DAP, Lim Kit Siang menarik diri.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu mengumumkan tidak akan meneruskan debatnya dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bimbang dengan kemungkinan besar ini akan dimanipulasi menjadi satu konflik perkauman.

Kit Siang menjelaskan, sejak 48 jam yang lalu, beliau menerima segunung surat dan nasihat yang memintanya supaya tidak meneruskan debat itu.

“Saya sedar yang keputusan saya ini akan disambut dengan pelbagai tuduhan yang saya ini adalah seorang penakut. Kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk semua rakyat menghakimi sama ada saya seorang penakut ataupun tidak dan saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman daripada rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kit Siang sambut cabaran Najib tapi mahu isu kleptokrasi

Najib setuju tajuk debat kleptokrasi Kit Siang

“Tajuk debat berkenaan “Bagaimana Malaysia terjerumus menjadi sebuah kleptokrasi global dan bagaimana kita boleh kembali menjadi sebuah negara terulung yang berintegriti” di antara Najib dan saya ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu vs Cina.

“Sedangkan perang melawan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukanlah satu isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik, saya telah memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebelum ini, Najib mencadangkan debat itu diadakan selepas hari raya dan disiarkan secara langsung.

Beliau juga berharap topik lain turut dibincangkan dan pada mulanya ia disambut baik oleh Kit Siang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia