KPM peruntuk RM350,000 untuk SJK(C) Kiew Nang

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Kementerian Pendidikan Malaysia bersetuju memperuntukkan RM350,000 bagi membantu membina semula bangunan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kiew Nang yang terbakar pada Selasa lalu.

Perkara ini diumumkan Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau Kiong Yieng, semasa kunjungannya ke sekolah tersebut, hari ini.

"Saya telah menghubungi Guru Besar di sini untuk meminta anggaran kos pembinaan semula, atau baik pulih bangunan yang terjejas.

"Kemudian saya menghubungi KPM dan Timbalan Menterinya Teo Nie Ching bersetuju memberikan peruntukan sebanyak RM350,000 untuk tujuan itu," katanya.

Selain peruntukan itu, Lau turut mengumumkan peruntukan dari pusat khidmat DAP Lanang sebanyak RM50,000, dan geran kawasan parlimen beliau sebanyak RM100,000 bagi membantu sekolah tersebut, menjadikan jumlah terkumpul bantuan kini berjumlah RM500,000.

Pembinaan semula bangunan sekolah baharu akan dilakukan di tapak yang sama.

Sebuah blok bangunan sekolah yang menempatkan empat bilik darjah, sebuah kantin dan sebuah stor musnah dalam kebakaran pada kira-kira 4.15 petang Selasa. – Bernama

Artikel Berkaitan: