Annuar akui UMNO ada terima syor pinda perlembagaan parti

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KOTA BHARU - Tiada kata putus mengenai cadangan agar Perlembagaan UMNO dipinda bagi pemimpin yang didakwa di mahkamah.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengesahkan ada menerima cadangan itu, namun masih tiada kata putus dibuat kerana perkara itu masih di peringkat pengesyoran.

"Satu jawatankuasa ditubuhkan dan ia dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Tugas mereka ialah mengambil pandangan-pandangan kemudian mengemukakan hasil sebelum ia dibincangkan ke peringkat Majlis Tertinggi.

“Lama lagi... ia mungkin makan masa lima bulan sebab ia perlu melepasi proses muktamad dan dibawa ke Bahagian-bahagian UMNO sebelum dipanggil ke mesyuarat agung luar biasa (EGM)," katanya pada sidang akhbar Pemuda dan Puteri UMNO Cakna Asnaf hari ini.

Dalam majlis anjuran Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) dan Yayasan Persabahatan Malaysia (Permai) ini, seramai 122 kanak-kanak daripada golongan asnaf menerima sumbangan baju raya.

Annuar berkata, tidak dinafikan parti itu ada menerima syor itu, tetapi ia bukan satu-satunya syor yang dikemukakan.

Ahli Parlimen Ketereh ini berkata demikian bagi mengulas mengenai dakwaan UMNO bakal meminda salah satu fasal dalam perlembagaannya melalui EGM, November ini.

Artikel Berkaitan:

"UMNO sudah mempunyai peraturan seumpama itu, antaranya melucutkan jawatan terhadap mana-mana pemimpin parti jika dijatuhi hukuman oleh mahkamah," katanya.

Sebelum ini, timbul spekulasi mendakwa UMNO akan meminda fasal 9.9 untuk mengetepikan pemimpin tertentu.

Jika cadangan berkenaan diterima, ia boleh membawa kepada pemecatan jawatan beberapa pemimpin kanan UMNO termasuk Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.