Geng Tatoo tumpas

No Image Caption
A
A
A
KUANTAN - Polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes pecah premis perniagaan dan bilik asrama di daerah ini berikutan tertangkapnya enam anggota Geng Tatoo dipercayai dalang kegiatan jenayah tersebut, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, suspek berusia 17 hingga 31 tahun termasuk seorang wanita warga Thailand itu ditahan secara berasingan di sekitar Kuala Lumpur dan daerah ini dalam tempoh 5 hingga 8 Disember lalu.

Menurutnya, hasil tangkapan itu, polis berjaya merampas sebuah kereta jenis Perodua Axia yang digunakan, 24 telefon bimbit plbagai jenama, peti besi, komputer riba, jam tangan dan beberapa barangan lain disyaki hasil kegiatan jenayah mereka.

“Siasatan ke atas dua daripada suspek berusia 27 dan 28 tahun berasal dari Johor dan Perak, mereka mengaku terlibat dalam tujuh kes yang dilaporkan.

“Empat daripada mereka memiliki rekod jenayah lampau berkait kes dadah dan jenayah manakala ujian saringan air kencing mendapati mereka turut positif dadah methamphetamine,”katanya.

Mohd Noor berkata, kejayaan itu hasil tindakan pihaknya susulan laporan polis dibuat mangsa termasuk peniaga kedai telefon yang kerugian kira-kira RM60,000 selepas premisnya dipecah masuk 29 November lalu.

“Daripada tujuh kes yang dilaporkan ini, nilai kerugian keseluruhan mencecah RM70,000,”katanya.

Menurutnya, suspek bergerak aktif dalam jenayah itu sejah setahun lalu dengan menjadikan premis perniagaan sebagai sasaran.

“Susulan maklumat diterima,kita berjaya mengesan dan menahan semua suspek dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan,” katanya.
Artikel Berkaitan: