Muhyiddin bantah tujuh kes mahkamahnya dibicara bersama

Muhyiddin
Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi peguamnya, mengemukakan bantahan terhadap permohonan pihak pendakwaan supaya empat kes menggunakan kedudukan dan tiga pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram dihadapi bekas Perdana Menteri itu dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.

Menerusi satu kenyataan media pada Isnin, peguam yang mewakili Presiden Bersatu itu berkata, kes menggunakan kedudukan untuk rasuah tidak mendedahkan kesalahan itu mengikut peruntukan undang-undang.

"Tanpa menyentuh merit pada permohonan untuk perbicaraan bersama, kami menyatakan ia adalah prinsip keadilan yang tidak boleh ada dalam perbicaraan bersama.

"Hujahan pendakwaan bahawa empat kesalahan predikat adalah berhubung kait dengan tiga lagi kes pengubahan wang haram merupakan suatu anggapan salah dan pramatang," katanya.

Pasukan pembelaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) ini berkata, permohonan supaya pertuduhan yang cacat itu dibatalkan telah difailkan.

Katanya, mahkamah telah menetapkan pengurusan kes bagi permohonan berkenaan dibuat pada Rabu ini.

Pembelaan berkata, kenyataan media itu susulan laporan sebuah portal yang memetik dokumen permohonan pendakwaan dengan menyatakan perbicaraan bersama bagi semua pertuduhan dibuat untuk kepentingan keadilan.

Selain itu pendakwaan memaklumkan, pendengaran kes secara bersama akan menjimatkan masa kerana tujuh kes itu adalah melibatkan dokumen serta saksi yang sama.

Pada Jumaat lalu, pihak pendakwaan yang mengendalikan kes Muhyiddin, memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini supaya tujuh pertuduhan kes berkenaan dibicarakan bersama.

Dalam prosiding terdahulu, Ahli Parlimen Pagoh itu diwakili peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib.

Pada 10 Mac lalu, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan salah guna kuasa untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

Ekoran kes ini, Muhyiddin menjadi bekas Perdana Menteri kedua selepas Datuk Seri Najib Tun Razak dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan seksyen sama di mahkamah itu.

Tiga hari kemudian, iaitu 13 Mac, Muhyiddin sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas pertuduhan ketujuh, iaitu kes pengubahan wang haram berjumlah RM5 juta tahun lalu.