Hadi belum dapat maklumat isu penahanan anggota Jabatan Amal

Abdul Hadi semasa menyampaikan Ceramah Badar Al-Kubra Pas Negeri Kelantan di Madrasah Nasrullah Pohon Buluh, Meranti.
Abdul Hadi semasa menyampaikan Ceramah Badar Al-Kubra Pas Negeri Kelantan di Madrasah Nasrullah Pohon Buluh, Meranti.
A
A
A

PASIR MAS - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui beliau masih belum menerima maklumat lengkap berkenaan penahanan anggota Jabatan Amal Malaysia berkait dengan kes membakar kereta milik Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau Dr Maza pada 22 Mac lalu.

Abdul Hadi berkata, buat masa ini beliau tidak dapat memberikan sebarang maklum balas berhubung perkara tersebut.

“Tunggu maklumat dulu, saya baru nak baca berita berhubung perkara tersebut,” katanya selepas diminta mengulas berhubung penahanan anggota Jabatan Amal Malaysia yang sudah tular di laman media sosial selain mendapat liputan dari akhbar tempatan.

Terdahulu, beliau menyampaikan Ceramah Badar Al-Kubra Pas Negeri Kelantan di Madrasah Nasrullah Pohon Buluh, Meranti malam tadi.

Turut hadir, Naib Ketua Pemuda Pas Pusat, Ahmad Fadhli Shaari; Setiausaha Pas Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Mat Nawi; Ketua Penerangan Pas negeri, Datuk Mohd Nasuruddin Daud; Yang Dipertua Pas Kawasan Pasir Mas, Datuk Hanifa Ahmad dan pimpinan parti yang lain.

Sebelum ini tular di media pengendali laman Facebook Mohd Asri memuat naik gambar suspek dan mengaitkan suspek yang merupakan anggota Jabatan Amal Pas dengan parti itu serta Abdul Hadi.

Tindakan pengendali itu menerima kecaman dari Pemuda Pas, bagaimapun kelmarin Mohd Asri sudah mengeluarkan permohonan maaf terbuka berhubung isu itu.

Mengulas mengenai permohonan maaf itu, Ahli Parlimen Marang berkata, beliau masih belum membaca perkara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tidak dapat memberikan sebarang komen atau ulasan mengenainya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Amal Malaysia, Mohd Nazree Mohd Aris mengesahkan tiga anggotanya telah ditahan reman oleh pihak polis.

Penahanan itu bagi membantu siasatan insiden membakar kereta Mufti Perlis pada 22 Mac lalu.