Baca al-Quran dengan bahasa isyarat

Pelajar SAPK sedang membawa taklif di hadapan Norhafizah selepas usai majlis khatam al-Quran, semalam.
Pelajar SAPK sedang membawa taklif di hadapan Norhafizah selepas usai majlis khatam al-Quran, semalam.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sekumpulan pelajar Sekolah Agama Pendidikan Khas (SAPK) Johor Bahru menarik perhatian umum pada Program Penyerahan Taklif dan Khatam al-Quran di Masjid Sultan Iskandar, semalam.

Seramai lima orang murid dan lima orang guru pengiring yang dibahagi kepada dua kumpulan menggunakan bahasa isyarat ketika membaca al-Quran.

Guru Besarnya, Norhafizah Suhaimi berkata, buat pertama kali pelajarnya dibawa menyertai program komuniti secara beramai-ramai.

"Saya tahu semua peserta di sini normal, boleh membaca, bercakap dan mendengar tapi saya tetap bawa pelajar saya ikut serta.

"Ini kali pertama saya bawa mereka ke program sebesar ini dan saya putuskan nak bawa mereka pun semalam (kelmarin) sebaik dimaklumkan penganjuran program ini oleh Pejabat Pendidikan Islam Daerah, (PPID)" katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato' Onn di sini, semalam.

Katanya, membaca al-Quran menggunakan bahasa isyarat mengambil masa lama kerana setiap huruf perlu dibaca satu persatu dengan isyarat.

"Membaca al-Quran dengan bahasa isyarat memang lambat tapi saya nak mereka rasa sertai program ini.

"Setiap huruf itu perlu disebut satu persatu. Di sekolah kita ada sembilan orang guru yang membimbing 67 pelajar membaca al-Quran guna kaedah bahasa isyarat ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau sempat menyeru orang ramai agar mengambil peluang belajar bahasa isyarat.

"Saya sangat menggalakkan sesiapa sahaja bahasa isyarat sebab tak kenal maka tak cinta," katanya.

Seramai 250 orang pelajar dari 22 buah sekolah agama di negeri ini bersama ibu bapa menyertai majlis khatam al-Quran serta penyerahan taklif antara anak dan ibu bapa.

Ketua Unit Kekeluargaan PPID, Nazatul Warda Mohd Badri berkata taklif dilaksanakan kali ini sebagai salah satu cara memberi pendedahan kepada pelajar tentang tanggungjawab.

"Taklif ini dibuat berdasarkan modul pengamalan sakinah yang terkandung dalam modul keluarga sakinah supaya pelajar yang sudah akil baligh ini tahu serta sedar bahawa setiap perbuatan mereka di bawah tanggungan sendiri sama ada dosa atau pahala.

"Kita juga mahu mengajar anak-anak tentang tanggungjawab. Melalui program ini juga kita sarankan ibu bapa taklif anak masing-masing," katanya.